Orang awam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid- 19 yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dengan memakai pelitup mulut dan hidung di tempat awam semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Tahap kesedaran orang ramai terhadap pematuhan pemakaian pelitup muka di kawasan awam dan dilihat masih rendah meskipun kerajaan sudah menjadikannya sebagai mandatori untuk dilaksanakan.

Ini kerana ada yang mengambil mudah dan menjadikan perkara itu sambil lewa seolah-olah pemakaian pelitup muka sebagaimana yang diarahkan tidak membawa apa-apa makna kepada mereka.

Buktinya, tinjauan MalaysiaGazette mendapati masih terdapat segelintir masyarakat seperti acuh tidak acuh dengan arahan itu malah ada yang selamba tidak memakainya di tempat awam.

Malah, ada juga yang tidak mengenakan pelitup muka secara betul apabila memakainya di bawah dagu sedangkan nasihat pernah diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah bahawa pemakaian pelitup muka dengan cara itu boleh menyebabkan individu terbabit terdedah dengan bakteria.

Berdasarkan tinjauan juga, didapati ada peniaga atau pekerja di premis-premis yang menjual makanan tidak memakai pelitup muka atau tidak mengenakannya dengan betul semasa mereka menyediakan makanan kepada pelanggan.

Bagi sesetengah orang ramai yang berurusan di kawasan bandar pula, pemakaian pelitup muka dirasakan seperti merimaskan apabila ada yang memakainya ‘sekejap-sekejap’ dan juga yang terus menanggalkannya ketika berada di tengah-tengah kesesakan ramai.

Apabila ditanya, mereka memberikan pelbagai alasan dengan ada yang menjawab sekadar menanggalkannya sekejap sahaja dan ada juga yang memberitahu, hanya mahu berurusan sebentar sahaja dan disebabkan itu tidak perlu memakai pelitup muka.

Tidak kurang juga ada yang memberikan alasan memakai pelitup muka menyebabkannya sukar untuk bernafas.

Bagi Nur Umaira Suhaimi, 19, dia merasakan dirinya lebih selamat apabila memakai pelitup muka di tempat awam berbanding jika jika tidak memakainya.

Nur Umaira Suhaimi bercakap kepada media mengenai pihak kerajaan telah menetapkan peraturan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid- 19 dengan memakai pelitup mulut dan hidung di tempat awam semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 OGOS 2020.

Katanya, dia juga cukup selesa jika berurusan dengan individu yang memakai pelitup muka kerana tahu bahaya wabak Covid-19 itu masih ada dan belum berakhir.

“Bagi saya saranan kerajaan untuk mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka ini baik.

“Apa yang kita lalui ini (penularan wabak Covid-19) belum ada kesudahannya lagi, Jadi lebih baik kita ambil langkah berhati-hati demi kebaikan kita bersama,” katanya.

Seorang penjual peralatan telekomunikasi, Mohd Danial Ng, 32, pula memberitahu, dia tidak kisah jika kehilangan seorang pelanggan yang datang ke kedainya tanpa memakai pelitup muka.

Mohd Danial Ng bercakap kepada media mengenai pihak kerajaan telah menetapkan peraturan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid- 19 dengan memakai pelitup mulut dan hidung di tempat awam semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 OGOS 2020

Katanya, adalah lebih lebih jika dia tidak melayan pelanggan itu daripada dia berdepan risiko dijangkiti Covid-19.

“Hilang pelanggan tak apa. Virus ini tak nampak, kalau orang itu ada gejala macam mana pula nanti. Banyak orang boleh jadi susah kalau sudah kena.

“Tapi kalau boleh saya suruh mereka untuk pakai mask (pelitup muka) dulu. Kalau tiada pergi beli dan kemudian baru datang ke sini,” ujarnya.

Sementara itu, David Sinadurai, 63, pula berpendapat, memakai pelitup muka di tempat awam dan juga kawasan sesak sememangnya perlu dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.

David Sinadurai bercakap kepada media mengenai pihak kerajaan telah menetapkan peraturan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid- 19 dengan memakai pelitup mulut dan hidung di tempat awam semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kajang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 02 OGOS 2020

Meskipun mengakui beliau kurang selesa dengan arahan itu, namun sebagai seorang yang telah mencecah usia warga emas langkah tersebut dapat mengurangkan risiko dirinya daripada mendapat jangkitan.

“Memang tak selesalah pakai mask ni. Tapi kerajaan sudah wajibkan nak buat macam mana. Kita kena ikut kalau tak nanti kena bayar denda RM1,000.

“Pakai mask pun untuk kebaikan juga macam orang tua seperti saya ini,” katanya.

Minggu lalu, media melaporkan mulai hari ini, pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Menteri Kanan Kluster (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, langkah itu diambil berikutan penambahan kluster-kluster jangkitan Covid-19 baharu yang dikenal pasti, selain atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Orang ramai boleh didenda RM1,000 mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast