LONDON – Penyerang muda Nigeria, Victor Osimhen sah menyertai Napoli sekali gus menjadi pemain Afrika termahal dalam sejarah selepas kelab Itali itu bersetuju untuk membayar yuran perpindahan bernilai €81.3 juta (RM405 juta) kepada kelab Perancis, Lille.
Berdasarkan angka yang didedahkan oleh media Perancis, L’Equipe, Napoli akan membayar €71.2 juta dan €10.1 juta bonus tambahan menjadikannya rekod pembelian termahal kelab Serie A itu.
Jumlah tersebut mengatasi itu mengatasi nilai €72 juta yang dibayar Arsenal tahun lalu untuk mendapatkan penyerang Ivory Coast, Nicolas Pepe yang kemudian posisi itu diganti oleh Osimhen di Lille.
Bekas pemain Wolfsburg itu akan menerima gaji lumayan antara €4 juta dan €5.5 juta setahun tidak termasuk bonus, jauh lebih tinggi berbanding €80,000 seminggu yang diterimanya di Lille sebelum ini.
Kelab Belgium, Charleroi yang juga bekas kelab Osimhen akan menerima €7 juta daripada perpindahan tersebut berdasarkan klausa penjualan yang dimasukkan sebelum ini.
Osimhen, 21, telah menjaringkan 10 gol dalam kejohanan Piala Dunia bawah 17 tahun (B-17) pada 2015 dan membantu negaranya menjulang kejuaraan buat kali kelima di Chile.
Pada tahun sama, Osimhen turut dinamakan sebagai pemain muda Afrika terbaik.
Musim ini pula dia telah dipilih sebagai pemain terbaik tahunan Lille selepas menampilkan persembahan cemerlang dengan menjaringkan 18 gol dari 28 penampilan dalam semua pertandingan dan telah menarik minat beberapa kelab Eropah untuk mendapatkannya. – MalaysiaGazette