KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menarik nafas lega dengan penafian Datuk S. Ambiga yang dirinya dilantik Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu.
“Perkasa merasa sangat lega dan sangat gembira apabila S. Ambiga seorang pembela pengamal LGBT menafikan beliau akan dilantik jadi Pengerusi SPR,” kata Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali.
Menurut beliau, pihaknya menolak atau menentang LGBT bukan kerana rasis malah sesiapa sahaja yang memperjuangkan golongan itu, Perkasa tidak gentar untuk menentangnya.
“LGBT salah dalam undang-undang negara. Bukan membabitkan umat Islam sahaja, tetapi ke atas semua rakyat Malaysia. Rasuah, rogol dan mencuri adalah haram kepada semua kaum dan penganut agama apa sekali pun,” katanya dalam kenyataan kepada hari ini.
Semalam, Perkasa membantah keras jika benar kerajaan Perikatan Nasional (PN) hendak melantiknya sebagai Pengerusi SPR yang baharu menggantikan Datuk Azizan Azhar Harun yang dilantik Speaker Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu.
Bagaimanapun, Ambiga dalam kenyataannya hari ini menafikan dakwaan itu dengan menyatakan sebagai tidak benar.
Menurut Syed Hassan, pertubuhan NGO itu dalam perjuangannya mempertahankan perlembagaan dan undang-undang negara, termasuk menentang segala yang tidak wajar serta menyalahi peruntukan undang-undang.
“Bagi Perkasa, LGBT sangat jijik di sisi agama Islam. Jika siapa mahu perjuangkan LGBT elok pergi ke negara lain, bukan perjuangkannya dalam negara ini.
“Pemimpin Islam jangan sesekali kunci mulut tidak berani menolak LGBT secara tegas. Jangan ada antara kamu menyokongnya,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana pemimpin tidak kira kaum sekalipun wajar menolaknya jika berlaku amalan gaya hidup songsang. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: