Helikopter tempur ringan. MD530G.

KUALA LUMPUR – Situasi penularan wabak Covid-19 serta faktor spesifikasi khusus merupakan punca enam buah helikopter yang dipesan melibatkan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalami kelewatan penghantaran.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada enam buah helikopter jenis MD350-G itu, tiga daripadanya telah siap sepenuhnya.

Namun beliau berkata, keadaan yang sedang dialami dunia ketika ini telah menyebabkan kesukaran daripada segi penghantaran.

“Kita sepatutnya menghantar pegawai ATM kita daripada kementerian untuk melakukan pemeriksaan serta memperoleh pensijilan tetapi kerana Covid-19 kita tidak dapat hantar dan kita tangguhkan dan helikopter ini dipesan khas mengikut spek ketenteraan.

“Memandangkan keadaan di Amerika (Covid-19) sudah tentu tidak mengizinkan dan mungkin mereka tidak membenarkan kemasukan rakyat dari negara luar jadi kita tidak boleh hantar pegawai serta bawa pulang tiga helikopter tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan berhubung status pembelian enam helikopter tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ismail Sabri, perolehan kesemua helikopter itu merupakan keperluan ATM khusus bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara terutamanya di kawasan operasi ketenteraan.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, mesyuarat bersama Jemaah Menteri yang berlangsung pada 18 Disember 2019 telah bersetuju agar pembelian kesemua enam unit helikopter melibatkan bayaran pendahuluan sebanyak RM150 juta itu tetap diteruskan setelah mengambil kira implikasi kewangan yang digunakan. – MalaysiaGazette