KUALA LUMPUR – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membuat penemuan gula ‘trehalulosa’ dalam madu kelulut sebagai gula utama yang tidak terdapat dalam kuantiti yang banyak dalam madu yang dihasilkan oleh lebah lain.

‘Trehalulosa’ itu ditemui dalam semasa penyelidikan mengenai profil gula madu kelulut
dijalankan oleh Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan
Teknologi Makanan UPM, Dr. Norhasnida Zawawi bersama Profesor Madya Dr. Mary
Fletcher dari University of Queensland Australia serta ahli kumpulan penyelidikan lain
makmal Queensland Alliance of Agriculture and Food Innovation, Australia.

“Kami menguji madu dari dua spesies lebah asli Malaysia (Heterotrigona itama dan
Geniotrigona thoracica), dua Australia (Tetragonula carbonaria dan Tetragonula
hockingsi) dan satu Brazil (Tetragonisca angustula) dan mendapati 13 sehingga 44g
gula trehalulosa didapati dalam semua madu itu, bukannya gula maltosa seperti yang
difikirkan sebelum ini,” kata Dr. Norhasnida.

Beliau berkata, madu kelulut yang dikaji dari Malaysia daripada spesis G. thoracica
mempunyai kandungan ‘trehalulosa’ paling tinggi iaitu 84% daripada berat madu.

Katanya, trehalulose adalah gula dengan indeks glisemik rendah (GI) bernilai 32
sahaja, dan tidak dijumpai sebagai komponen utama dalam makanan lain.

Beliau juga berkata, gula trehalulosa itu mempunyai kemanisan sehingga 70% daripada
kemanisan gula sukrosa tetapi jika dimakan dengan jumlah yang sepatutnya, ia boleh
digunakan untuk mencegah penyakit diabetes.

“Sebelum ini, secara tradisional, masyarakat di Malaysia telah menggunakan madu ini
untuk pesakit diabetes tetapi daripada segi sains kita belum dapat membuktikan
dengan jelas faktor yang boleh menyebabkan kesan itu.

“Sekarang kita tahu bahawa nilai GI madu yang lebih rendah ini boleh menjadi satu
daripada faktor yang menyumbang kepada tuntutan itu kerana setelah trehalulosa
memasuki sistem penghadaman, ia akan diserap dalam darah secara perlahan dan
tidak akan menaikkan glukosa darah seperti gula biasa," katanya.

Dr. Norhasnida Zawawi

Beliau berkata, perkara yang juga menarik mengenai gula trehalulosa ialah ia bersifat
akariogenik, dan oleh itu tidak menjadi punca kerosakan gigi.

Menurutnya, penemuan gula trehalulosa itu telah diterbitkan dalam jurnal keluaran
Springer Nature: Scientific Reports https://rdcu.be/b5Mh3.

Dr. Norhasnida berkata, penemuan itu akan mengukuhkan pasaran madu lebah kelulut
dan meningkatkan permintaan terhadapnya di peringkat antarabangsa.

Justeru, katanya, industri madu kelulut negara akan berkembang dengan lebih pesat
yang akan meningkatkan pulangan kepada penternak kelulut di Malaysia.

Katanya, bagaimanapun nilai komersial yang tinggi juga menjadikannya madu itu
berisiko untuk dipalsukan, seperti penjualanan madu yang telah dicampur dengan bahan
lain, atau mencairkan produk berkenaan.

"Tetapi berdasarkan kajian ini, kita akan dapat menguji ketulenan madu kelulut yang dijual dipasaran, selain membantu industri dan pihak berwajib untuk menetapkan
standard makanan yang sesuai bagi madu ini, berbeza dengan piawai sedia ada,”
katanya yang juga ahli Jawatankuasa Pembentukan Piawai Madu Kelulut di Jabatan
Standard Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Beliau berharap, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan menubuhkan
Institut Penyelidikan Lebah Kelulut Malaysia bagi menggiatkan lagi kajian mengenai
lebah dan madu kelulut sebagai makanan yang berpotensi menjadi komoditi negara.

Kajian itu sebahagiannya dibiayai Kementerian Pendidikan Tinggi melalui geran
penyelidikan Geran Putra (No. 9568900) tetapi dijalankan di University of Queensland
ketika Dr. Norhasnida menjalani cuti sabatikal sebelum dilantik sebagai Honorary
Senior Fellow di situ.

Kajian selanjutnya kini dijalankannya di Makmal Makanan Fungsian, Fakulti Sains dan
Teknologi Makanan. – MalaysiaGazette