KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) peringkat pusat menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan Badan Perhubungan Putra Sabah untuk membuat keputusan sama ada akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu, atau sebaliknya.

Setiausaha Agung Putra, Borhan Ahmad Zakaria berkata, Putra Sabah dijangka bermesyuarat 8 Ogos ini dan Putra pusat akan menghormati apa juga keputusan dibuat kepimpinan itu sama ada secara konsesus atau suara majoriti.

“Kita yakin kepimpinan Putra Sabah akan memperhalusi semua aspek sebelum membuat sebarang keputusan, terutama kekuatan dan kemampuan parti setelah setahun usianya.

“Kita mengambil kira proses penubuhan bahagian, sayap Wira, Wiranita, Wirawati, cawangan dan keahlian yang menjadi kayu ukur jentera jika kita hendak berdepan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK), PRN mahupun Pilihan Raya Umum (PRU).

“Sebelum ini, Putra pusat hanya memusatkan perhatian kepada PRU15, tetapi tidak menjangkakan berlaku PRN mengejut di Sabah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau bertindak demikian, selepas krisis politik Sabah mencapai kemuncaknya apabila bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Menurut Borhan, Putra pada dasarnya telah membuat keputusan tidak akan menyertai mana-mana PRK dan menumpukan perhatian kepada proses penubuhan parti itu di peringkat akar umbi serta persiapan gerak kerja bagi PRU-15.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin perbincangan di kalangan kepimpinan Putra Sabah 8 Ogos ini akan berlangsung dalam suasana penuh tertib, adab, istiqamah, matang dan semangat kekeluargaan serta persaudaraan berpaksikan kepada jati diri dan keikhlasan.

“Apa juga keputusannya hendaklah didokong bersama dan jadikan perbedaan pendapat sebagai kekuatan dalaman dan tidak dijadikan bahan luaran yang boleh menjejaskan imej parti.

“Ambillah contoh pengalaman pahit lain-lain parti yang sudah ditolak rakyat kerana perpecahan sesama sendiri dan seribu satu sebab yang menyebabkan rakyat benci dan meluat,” katanya.

Beliau berkata, Putra Sabah ditubuhkan pada 28 September 2019 dan mendapat sambutan baik oleh rakyat pribumi negeri itu kerana parti berkenaan bermatlamat memperjuang dan memperkasakan agenda Bumiputera yang berpaksikan kepada Perlembagaan Negara.

Perlu diketahui, katanya, dari awal lagi telah dipersetujui bahawa Putra Sabah diberi otonomi dalam urusan perjuangan parti di negeri itu bagi semua perkara berpandukan perlembagaan parti dan undang-undang negara.

“Ini termasuk hal ehwal pengurusan Putra Sabah yang akan menentukan hala tuju perjuangannya terutama isu pribumi serta pendirian politik dari semasa ke semasa yang di pertimbangkan dan diputus oleh Badan Perhubungan Putra negeri secara konsensus atau suara majoriti.

“Inilah struktur dan modus operandi kepimpinan otonomi Putra Sabah yang perakui oleh pimpinan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) pusat.

“Secara prinsipnya, pribumi Sabah yang terdiri dari pelbagai etnik lebih memahami apa yang patut dan wajar dilakukan dalam mendayung bahtera Putra Sabah dan kita di peringkat pusat menghormati prinsip serta realiti politik di negeri itu,” katanya. – MalaysiaGazette