Presiden IKHLAS, Datuk Mohd Ridhuan Abdullah bersama kumpulan peniaga Subang Parade yang mengadu tiada pengecualian sewa sepanjang PKP di Subang Jaya semalam.

KUALA LUMPUR- Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau pemilik bangunan khususnya premis perniagaan yang enggan memberikan pengecualian sewa atau subsidi.

Presiden IKHLAS, Datuk Mohd Riduan Abdullah berkata, ini berikutan ramai pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tertekan dan terpaksa menutup perniagaan akibat bebanan kewangan terpaksa menjelaskan tunggakan sewa sepanjang tiga bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu ekoran penularan Covid-19.

Menurut beliau, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  mengumumkan pemberian subsidi dan pengecualian sewa premis kepada PKS sekurang-kurangnya enam bulan namun banyak pemilik dan pengurusan bangunan tidak patuh serta tidak selari dengan kehendak kerajaan.

“Pihak KPDNHEP perlu mengambil perhatian isu ini kerana kesan domino pada ekonomi negara ini. Apabila rakyat kehilangan sumber pendapatan, aktiviti pemulihan ekonomi akan menjadi semakin lembab, aset seperti hartanah terpaksa dilepaskan dan lain-lain kemungkinan untuk kelangsungan hidup rakyat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan sekumpulan peniaga di Subang Parade dekat sini semalam.

Sementara itu, menurut Mohd Ridzuan, para peniaga di Subang Parade mendakwa mereka tertekan kerana tidak mendapat sebarang pengecualian sewa sepanjang PKP.

Segelintir premis terpaksa ditutup selepas PKP di Subang Parade.

“Sebagai mewakili peniaga saya akan berusaha untuk menemui pihak pengurusan dalam waktu terdekat bagi mengetengahkan aduan ini,” katanya.

Dalam masa yang sama, para peniaga di pusat beli belah Subang Parade kecewa apabila pihak pengurusan menuntut tunggakan sewa tanpa pengecualian atau pemberian diskaun.

Wakil peniaga yang juga pemilik pusat kecantikan, Tunku Fairus Tunku Khalil berkata, tanpa pengecualian atau pemberian diskaun menyebabkan puluhan peniaga rasa terbeban malah ada yang terpaksa tutup perniagaan.

Tunku Fairus Tunku Khalil

Katanya, ia tahun paling mencabar kerana negara ini dan dunia diancam pandemik Covid-19 meragut nyawa tetapi yang lebih mencabar daripada itu adalah ramai kehilangan sumber pendapatan khususnya peniaga kecil dan sederhana.

“Pada hari pertama saya kembali beroperasi, saya menerima surat tuntutan puluhan ribu iaitu tunggakan sewa bulanan bagi tempoh empat bulan.

“Dalam situasi sifar pendapatan sejak lima bulan lalu, jumlah itu amat besar bagi saya dan juga peniaga lain. Anggaran sewa di sini adalah RM7,000 hingga RM25,000 bergantung kepada saiz tapak.

“Pihak peniaga ada menghantar surat rayuan kepada pihak pengurusan memohon pengecualian atau pengurangan sewa namun permohonan kami ditolak,” katanya.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast