Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Saranan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang menggalakkan syarikat perkhidmatan e-hailing melakukan promosi secara besar-besaran bagi menyediakan perkhidmatan mereka khususnya kepada pemandu mabuk adalah satu langkah kebelakang.

Kenyataan itu seolah olah menggalakkan lagi orang-ramai untuk meminum arak.

Ketua Perhubungan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Selangor, Abdul Samad Ashaari berkata, Menteri Pengangkutan itu sepatutnya membuat promosi atau kempen jauhi arak dan bukan kempen perkhidmatan e-hailing kepada pemabuk.

Singapura sendiri pada tahun 2018 melalui perkhidmatan Grab telah menghentikan operasinya pada lewat malam selepas pemandu merungut mengenai penumpang yang mabuk dan suka bertengkar.

Pemandu Grab di Singapura juga menggambarkan penumpang mabuk muntah dalam kereta mereka atau bertengkar sepanjang perjalanan.

Abdul Samad berkata, sudah sampai masanya semua komuniti masyarakat di negara ini mengambil langkah proaktif untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya arak dan kesan negatifnya kepada masyarakat sehingga boleh mengancam nyawa.

Dalam kenyataan dua hari lalu, Ka Siong berkata, usaha itu merupakan salah satu alternatif bagi mengekang berlakunya insiden pemandu mabuk.

“Kita memang galakkan Grab rancakkan kempen guna perkhidmatan mereka. Kita akan guna kempen ini secara besar-besaran,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat Isnin lalu. – MalaysiaGazette