Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes rasuah pembekalan dan pemasangan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor hari ini ditangguh sehingga 17 Ogos depan.

Ini kerana salah seorang daripada peguam bela yang mewakili Rosmah, Azrul Zulkifli Stork memberitahu beliau tidak sihat selepas jatuh di rumahnya semalam.

Kata Azrul, dirinya tidak dapat untuk melakukan pemeriksaan balas berikutan insiden tersebut.

Azrul sepatutnya menyoal balas saksi ke-17, Saidi Abang Samsudin yang juga Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd yang didakwa telah memohon bantuan Rosmah bagi mendapatkan projek bernilai berbilion ringgit itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan kemudian membenarkan penangguhan itu setelah tidak mendapat sebarang bantahan daripada pihak pendakwaan.

Rosmah didakwa telah menerima suapan rasuah daripada Saidi menerusi bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. – MalaysiaGazette