Antara lapan suspek termasuk bapa kandung yang rogol dan lacur anak perempuan dan isterinya di bawa oleh pegawai polis untuk permohonan reman baharu di bawah siasatan akta ATIPSOM di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, Selangor. foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2020.

KAJANG – Mahkamah Sesyen Kajang hari ini menetapkan 18 Ogos ini sebagai sebutan semula kes terhadap empat warga asing atas pertuduhan melanggan khidmat seks daripada kanak-kanak perempuan yang dirogol dan dilacurkan bapa kandungnya.

Tiga warga Pakistan dan seorang warga Bangladesh berusia antara 29 hingga 35 tahun itu merupakan pelanggan kepada kanak-kanak berusia 13 tahun sejak dua tahun lalu.

Hakim Mohd Ali Che Kafli menetapkan tarikh sebutan semula itu selepas keempat-empat tertuduh, Muhammad Haque Anwar ul, Astar Khan, Md Suhag Hosan dan Yousaf Gul berdiri terpinga-pinga di kandang pertuduhan selepas mereka tidak memahami kertas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu.

Kesemua tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah dengan berbaju lokap dan tangan bergari didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Saat yang mengemukakan pertuduhan itu memohon mahkamah supaya mendapatkan seorang jurubahasa Urdu dan Bangladesh bagi sebutan semula kes.

Norhana juga memohon hakim menetapkan tarikh baharu.

Pada 11 Julai lalu, ibu saudara mangsa mendakwa mangsa telah dirogol dan dilacurkan oleh bapa kandungnya berusia 41 tahun yang merupakan seorang pemandu lori di sebuah kondominium di Hulu Langat sejak 2017.

Bapa kandung mangsa yang merupakan suspek utama kes berkenaan ditangkap polis pada 13 Julai lalu di Pandan Indah dan beberapa warga asing Bangladesh dan Pakistan di Cheras, Kajang.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu ke atas mangsa sejak pertengahan tahun 2019 sehingga Februari tahun ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.