Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan pertambahan 13 lagi kes positif Kluster Individu Dalam Siasatan (PUI) Sivagangga iaitu 12 kes baharu di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang dan satu kes lama yang dilaporkan 4 Ogos lalu di Perlis.

Pecahan 12 kes baharu itu adalah 10 di Perlis, satu kes masing-masing di Pulau Pinang dan Kedah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 3,246 orang telah disaring dalam kluster PUI Sivaganga.

“Daripada jumlah ini, seramai 43 kes dikesan positif Covid-19 manakala 2,320 orang lagi negatif sementara 883 kes lagi masih menunggu keputusannya.

“Seramai 1,884 kontak rapat Kluster PUI Sivagangga telah dikenalpasti dan bakal disampel di Perlis dan Pulau Pinang, susulan kes positif baharu yang diumumkan pada hari ini.

“Pecahan kes positif kluster Sivagangga mengikut negeri adalah 31 kes di Kedah, 11 kes dari Perlis dan satu kes dari Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Noor Hisham, 10 kes baharu yang dilaporkan di Perlis hari ini dan juga kes ke-9, 002 yang dilaporkan di Perlis pada 4 Ogos lalu terdiri daripada satu keluarga menjadikan kesemua 11 kes daripada Perlis daripada Kluster Sivagangga.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati salah satu ahli keluarga tersebut (iaitu kes ke-9,054, kes generasi kedua) adalah merupakan pelanggan tetap gerai milik kes ke-8,976 (iaitu kes generasi pertama kluster ini).

Uar beliau, ia menjadikan kes ke-9,054 tersebut sebagai kes generasi kedua dan 10 ahli keluarga kepada kes ke-9,054 adalah generasi ketiga kluster yang sama.

“Kesemua 10 kes baharu ini tidak bergejala dan telah dimasukkan di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis untuk rawatan,” katanya lagi.

Satu kes baharu dari Kedah (kes ke-9, 053) pula adalah kontak rapat kepada kes ke-9, 035 (iaitu suami kepada kes ke-90) yang telah dilaporkan pada 6 Ogos lalu manakala satu kes baharu di Pulau Pinang (kes ke-9,052) disaring kerana pada 30 Julai lalu beliau telah pulang ke kampung yang merupakan salah satu kawasan yang kini di bawah pelaksanaan TEMCO atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar,” katanya.

Ujar Noor Hisham lagi, saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) diteruskan oleh KKM.

Dalam pada itu, langkah-langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar dijalankan di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti berkait rapat dengan kluster ini dan situasi terkini kluster ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai.

“Masyarakat diminta untuk menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima sebelum mempercayai dan menyebarkan maklumat tersebut,” tegas Noor Hisham.-MalaysiaGazette