KUALA LUMPUR – Pelik juga apabila difikirkan tentang ‘perangai’ DAP yang berteriak melolong kerana pemimpin utamanya didakwa atas kesalahan rasuah hari ini.

Tapi nada itu tidak pula sama apabila pemimpin politik parti kerajaan yang dikenakan tindakan undang-undang atau berdepan dengan pelbagai dakwaan rasuah serta salah guna kuasa.

Begitulah luahan Presiden Makkal Sakthi, Datuk Seri RS Thanenthiran kepada MalaysiaGazette berhubung dakwaan rasuah ke atas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan selama hampir dua tahun hari ini didakwa telah meminta suapan sebanyak 10 peratus untuk projek terowong dasar laut negeri itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Kata Thanenthiran, dirinya tidak terkejut dengan cemuhan, dakwaan, hinaan serta tangisan DAP sejak semalam selepas Guan Eng ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tidak, saya tidak pelik malah saya juga sudah agak semua adegan ini. Pelik hanya kerana saya tidak faham adakah mereka faham rakyat juga sedang perhatikan mereka.

“Malah rakyat di Pulau Pinang juga sedang memerhati. Dulu masa Datuk Seri Najib Razak kena dakwa kemudiannya perbicaraan demi perbicaraan berlangsung, segelintir DAP ini tidak reti diam.

“Ada sahaja hendak cakap, hendak tuduh sedangkan kes masih lagi sedang di bicarakan. Sesuka hati mereka tuduh entah segala macam mengikut teori dan imaginasi mereka walhal Datuk Seri Najib tidak pula berrhenti berjuang membersihkan namanya.

“Tapi hari ini, baru sahaja kena jentik terus berteriak menuduh semua bermotifkan politik. Tolonglah, orang tengok itu. Rakyat juga bukanlah buta, sudah celik. Apa kata anda lawan sahaja di mahkamah seperti Datuk Seri Najib. Sudahlah.

“Janganlah slogan indah-indah kamu itu sekadar retorik untuk orang, untuk parti semua yang ada dalamnya hebat-hebat belaka, suci sesucinya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pendakwaan rasuah cuba rosakkan reputasi saya, kata Guan Eng

Sambung Thanenthiran lagi, dirinya sentiasa mengikuti setiap perbicaraan Najib dan tidak sekalipun beliau menggunakan apa-apa cara jelik  untuk membersihkan namanya.

“Jadi Guan Eng, pergilah lawan kes ini. Gunakan kehandalan pemipin dalam parti kamu yang kebanyakan adalah peguam hebat-hebat. Kalau tidak salah, tidak perlu takut. Janganlah buat bising tegakkan benang basah. Kelakar betul, perangai kanak-kanak ‘ribena’,” ujarnya.

Thanentiran juga menarik perhatian segelintir termasuk dalam parti yang membuat ‘bising’ dengan kehadiran penyokong Najib ketika keputusan kes SRC International pada 28 Julai lepas.

“Kononnya kluster Najib dan segala macam tapi akhirnya hari ini kompleks bukannya penuh dengan penyokong akar umbi seperti Datuk Seri Najib sebaliknya kesemua pemimpin turun beri semangat.

“Perlukah buat begitu lagi-lagi ketika saban hari kita bercakap tentang penjarakan fizikal dan kehadiran ke sesuatu lokasi dengan begitu ramai sekali? Saya faham itu adalah ketua kamu, orang kamu yang kena dakwa.

“Jadinya sebelum-sebelum ini, apa pula sentimen dan perasaan yang lain? Apa yang penting undang-undang kamu, perasaan kamu dan keadilan ikut terma kamu, itu sahaja bukan?

“Tidak apalah, yang penting rakyat sedang perhati,” tegasnya. –MalaysiaGazette