Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bercakap kepada media bersama peguamnya, Gobind Singh ketika keluar dari mahkamah selepas membayar ikat jamin atas pertuduhan berhubung skandal terowong bawah laut di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang meneruskan pendakwaan ke atasnya berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang sedangkan ia gagal membuktikan kewujudan hasil rasuah sama ada dalam bentuk tunai mahupun dalam akaun bank.

Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa, SPRM masih gagal menjawab pertanyaannya berkenaan hasil rasuah itu walaupun beliau banyak kali mengajukan perkara itu baik semasa soal siasat mahupun ketika pendakwaan di Mahkamah Sesyen hari ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak pernah menerima sebarang suapan dan ini pun tidak ditanyakan oleh SPRM.

“Dia (SPRM) tidak pernah tanya di mana suapan saya, sama ada dalam bentuk wang tunai ataupun dalam akuan bank saya. Tiada puluhan juta atau bilion ringgit,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu Guan Eng mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi atas pertuduhan meminta suapan 10 peratus bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Ia sebagai balasan berharga daripada keuntungan yang akan diperolehi kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada Mac 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Guan Eng menyifatkan pendakwaan ke atasnya itu sebagai bermotifkan politik dan cuba merosakkan imej dan reputasinya sebagai seorang wakil rakyat.

“Jadi di mana rasuah? Itulah sebabnya saya akan lawan tuduhan rasuah ini yang saya rasa bermotif politik, tidak berasas untuk mencemarkan nama baik saya sebagai seorang Ahli Parlimen daripada pembangkang.

“Kita akan teruskan perjuangan untuk pastikan Malaysia lebih bersih, adil dan juga memastikan bahawa isu seperti rasuah dapat dibanteras,” katanya.

Guan Eng turut mengulangi pendiriannya menolak amalan rasuah di negara ini meskipun dirinya terpalit dengan skandal rasuah.

“Saya ulangi lagi kita lawan rasuah, kita tidak akan mendokong rasuah

“Kita akan serah kepada mahkamah untuk membuktikan bahawa saya memang tidak bersalah,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.