Ibu pejabat Facebook

MENLO PARK, California – Facebook Inc. akan membenarkan kakitangannya bekerja dari rumah sehingga Julai berikutan penularan koronavirus dan memberi mereka imbuhan sebanyak AS$1,000 untuk keperluan rumah yang dijadikan pejabat, kata seorang jurucakap syarikat media sosial itu.

Syarikat tersebut menyertai firma teknologi gergasi lain yang mengambil tindakan sama baru-baru ini.

Pada akhir Julai lalu, Google berkata, ia akan membenarkan kakitangannya untuk bekerja dari rumah sehingga penghujung Jun 2021 manakala Twitter Inc. telah mencadangkan bekerja dari luar untuk sesetengah pekerjanya.

“Berdasarkan garis panduan kesihatan dan pakar-pakar kerajaan serta keputusan yang diambil daripada perbincangan dalaman mengenai perkara ini, kami membenarkan kakitangan untuk terus bekerja secara sukarela dari rumah sehingga Julai 2021,” kata seorang jurucakap Facebook menerusi satu kenyataan.

“Selain itu, kami memberi kakitangan tambahan sebanyak AS$1,000 untuk keperluan pejabat di rumah,” tambah beliau seperti dipetik Reuters.

Facebook berkata bahawa syarikat itu akan terus membuka pejabatnya dengan kapasiti terhad yang mana dibenarkan oleh garis panduan kerajaan.

Bagaimanapun, syarikat tersebut menambah, tidak banyak lokasi pejabatnya akan dibuka semula di Amerika Syarikat dan Latin Amerika sebelum penghujung tahun ini berikutan peningkatan bilangan kes Covid-19. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast