Ramai berpendapat terlalu awal untuk Lampard mendukung tanggungjawab mengembalikan legasi Chelsea memandangkan belum cukup pengalaman kejurulatihan

BERLIN – Frank Lampard menaruh harapan tinggi anak buahnya mampu mengubah defisit 3 gol di Stamford Bridge Mac lalu apabila berdepan Bayern Munich sekali lagi malam ini dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah.

Pengurus the Blues itu percaya, pasukannya bersedia mencipta keajaiban menjelang aksi timbal balik kalah mati apabila berkunjung ke Allianz Arena.

Katanya, pasukan tersebut berpeluang untuk melakukan kejutan terhadap juara Bundesliga Jerman itu.

Dengan berbekalkan tenaga dan beberapa pemain yang sudah kembali cergas daripada kecederaan, Lampard berkata, pasukannya sedia mengasak gawang lawan pagi ini.

Perancang tengah N’Golo Kante dan Ruben loftus Cheek bakal beraksi dalam kesebelasan utama malam nanti.

Ditanya peluang pasukan ke pusingan suku akhir, beliau optimis melakukan kejutan terhadap Bayern.

“Kami yakin, kalau tidak saya tidak perlu berada di sini (Allianz Arena).

“Kami perlu yakin, lebih-lebih lagi para pemain saya yang akan beraksi di atas padang nanti.

“Saya akui ia adalah misi sukar dan tidak boleh menafikannya namun percaya dapat melakukan sesuatu malam nanti untuk mengubah defisit 3 gol dalam aksi pertama di Stamford Bridge Mac lalu,” katanya.

Namun, Chelsea masih turun ke gelanggang tanpa pemain bintang Pedro Rodriguez, Christian Pulisic dan Cesar Azpilicueta akibat kecederaan ketika perlawanan akhir Piala FA menentang Arsenal minggu lalu.

Pedro akan meninggalkan Stamford Bridge selepas ini, telah menjalani pembedahan di bahu.-MalaysiaGazette