Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Muar Johor, hari ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia menghulurkan bantuan dalam usaha menghasilkan vaksin Covid-19 di peringkat antarabangsa melalui pasukan petugas rentas kementerian yang ditubuhkan pada April lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha itu bagi meneroka peluang untuk menjalin kerjasama strategik dengan negara-negara lain dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin dan ubat-ubatan Covid-19.

“Kita perlu menganggap diri kita semua sebagai petugas barisan hadapan. Pematuhan kepada SOP (prosedur operasi standard) yang sedia ada perlu diperluaskan lagi.

“Kita perlu sentiasa berwaspada untuk mengelakkan daripada wujudnya kluster-kluster baharu yang menyebabkan peningkatan kes-kes positif Covid-19 di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu di Muar Johor, hari ini.

Menurut Muhyiddin, kesedaran kawalan kendiri yang tinggi baik di tempat kerja, tempat-tempat awam, tempat ibadat mahupun di rumah perlu ada dalam diri setiap individu sepanjang masa.

Katanya, memang tidak dapat dinafikan bahawa trend peningkatan kes dan pertambahan kluster baru-baru ketika iniĀ  berpunca daripada ketidakpatuhan rakyat terhadap SOP.

Dengan mengambil contoh situasi ketidakpatuhan kepada Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah dalam kalangan sekumpulan kecil individu yang sepatutnya dikuarantin di rumah selama 14 hari selepas pulang dari luar negara, Muhyiddin berkata, tindakan melanggar perintah itu bukan sahaja membahayakan ahli keluarga, saudara-mara malah ia turut mendedahkan masyarakat setempat kepada jangkitan Covid-19.

“Sehubungan dengan itu, kerajaan telah membuat keputusan untuk mengenakan kuarantin wajib kepada mana-mana individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Mereka ditempatkan di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan. Pihak berkuasa juga bersedia untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di lokaliti setempat sekiranya terdapat peningkatan kes baharu secara mendadak di kawasan tertentu,” tegasnya. – MalaysiaGazette