Bung Moktar Radin

SANDAKAN – UMNO Sabah mengharapkan peluang untuk bertanding di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang baharu pada pilihan raya negeri (PRN) nanti, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Jelasnya, terdapat beberapa kawasan seperti Sungai Manila dalam Parlimen Libaran merupakan kubu kuat UMNO dan berharap peluang untuk mengetengahkan calon daripada parti itu dipertimbangkan dalam perjumpaan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain dan sekutunya seperti Pas dan Bersatu.

“Dalam pertambahan kerusi (negeri) itu, kita lihat ada kawasan kubu kuat UMNO seperti Sungai Manila. Sudah tentu UMNO mempunyai kelebihan di kawasan itu sekiranya UMNO diberi peluang bertanding di kawasan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan UMNO di Pusat Daerah Mengundi Sungai Manila dekat sini. malam tadi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, sebanyak 60 kerusi DUN dipertandingkan. Pada Julai tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul tambahan 13 kerusi DUN Sabah.

Selain Sungai Manila dalam Parlimen Libaran, kerusi baharu lain ialah Bengkoka dalam Parlimen Kudat, Darau (Sepanggar), Limbahau (Papar), Telupid (Beluran), Lamag (Kinabatangan), Kukusan (Kalabakan), Bandau (Kota Marudu), Segama (Parlimen Lahad Datu yang telah dinamakan semula daripada Silam), Pintasan (Kota Belud), Tanjung Keramat (Putatan), Pantai Dalit (Tuaran), dan Tulid (Pensiangan).

Bung Moktar berkata, UMNO akan mencalonkan 80 hingga 85 peratus muka baharu pada PRN nanti dan keutamaan akan diberikan kepada calon muda bagi memberi ruang lebih luas kepada golongan muda memajukan negara.

Beliau juga berkata, calon UMNO telah dikenal pasti daripada kalangan yang boleh menang dan diterima rakyat, namun belum dimuktamadkan selagi belum berbincang dengan rakan sekutu UMNO.

“Pada saya, tidak guna kita menuntut (untuk bertanding di) sesuatu kawasan DUN itu kalau parti kita lemah, calon kita pun lemah di situ.

“Sebab itu UMNO Sabah akan mengemukakan data-data untuk menyokong kenapa kita mahu menuntut sesuatu kerusi itu dan siapa yang kita akan tonjolkan sebagai calon,” katanya.

Ditanya jika bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, yang juga penyandang kerusi DUN Sungai Sibuga ada berjumpa dengannya untuk menzahirkan hasrat mempertahankan kerusi itu, Bung Moktar berkata, komunikasi secara terus belum diadakan dan beliau (Bung Moktar) terbuka untuk berbincang.

Mengenai semakan kehakiman yang difailkan oleh Musa dan 32 ahli DUN lain untuk mencabar keputusan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN, Bung Moktar berkata, keputusan mahkamah itu nanti tidak akan menjejaskan usaha memperkuatkan jentera parti.

“Tidak apa (jika PRN tidak diteruskan). Kita pun bukan mahu mendesak PRN diadakan kerana bukan kita yang pilih untuk membubarkan DUN,” tambahnya.

Pada Jumaat (7 Ogos) lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menetapkan 17 Ogos ini untuk menentukan sama ada keputusan Yang Dipertua Sabah membubarkan DUN boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah

DUN Sabah dibubarkan pada 30 Julai lepas bagi memberi laluan kepada PRN yang perlu diadakan sebelum 29 Sept depan.

Pada 29 Julai lepas, Musa mendakwa mempunyai majoriti cukup untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu, namun Juhar bersetuju membubarkan DUN atas permintaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Bernama