Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Noh Omar semasa mengadakan lawatan kerja ke premis perniagaan milik PUNB di Pusat Industri Seri Rampai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) telah menanggung bayaran sewa untuk penyewa premis perniagaan miliknya sebanyak RM5.3 juta sepanjang moratorium selama enam bulan bermula April lalu hingga September ini.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, bagi tiga bulan bermula Oktober sehingga Disember ini, usahawan bumiputera yang terbabit akan diberi diskaun sebanyak 50 peratus untuk bayaran sewa itu.

Jelas beliau, bagi usahawan yang masih tidak mampu membayar dengan jumlah diskaun yang dberikan, mereka boleh membuat rayuan kepada PUNB.

“Baki tiga bulan ini, PUNB akan menanggung bayaran sewa itu sebanyak RM1.3 juta.

“Bagi yang masih tidak mampu dengan diskaun itu, boleh membuat rayuan kepada PUNB dan kami akan melihat rekod pembayaran mereka sebelum April lalu sama ada pembayar yang terbaik,” katanya.

Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Noh Omar mengatakan sesuatu kepada Pengasas dan Pengetua Learning Oasis, Muthla Binti Yusof (kanan) semasa mengadakan lawatan kerja ke premis perniagaan milik PUNB di Pusat Industri Seri Rampai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 11 OGOS 2020

Beliau berkata demikian pada sidang media apabila mengumumkan inisiatif khas untuk penyewa-penyewa premis perniagaan milik PUNB di Pusat Industri Seri Rampai di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin.

Noh menambah, ketika ini, seramai 220 usahawan bumiputera sedang menyewa premis-premis perniagaan milik PUNB.

Beliau turut membayangkan berita baik untuk seramai 4,000 usahawan yang aktif dengan PUNB membabitkan moratorium dalam masa terdekat ini. – MalaysiaGazette