Bekas calon Bersatu Parlimen Setiu Terengganu, Datuk Dr Mohd Faudzi Musa (tengah) bergambar bersama bekas-bekas calon Parlimen dan Dun menunjukkan kenyataan media pada Majlis Pengisytiharan Keluar Parti Bersatu Oleh Bekas-bekas Calon Parlimen dan Dun di Kelab Tasik Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 OGOS 2020

PUTRAJAYA – Kira-kira 13 calon wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu mengumumkan keluar parti itu, berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Menurut jurucakap Gabungan Permuafakatan Mantan-Mantan Calon Parlimen dan DUN Bersatu, Datuk Dr Mohd Faudzi Musa, tindakan itu dibuat dengan mengambil kira ketidakstabilan politik Malaysia hari ini, lebih-lebih lagi pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) didakwa melalui pintu belakang.

“Setelah lama berbincang dan membuat kajian dan dapatan di lapangan serta demi menyahut seruan suara akar umbi pejuang asal Bersatu, kami mantan-mantan calon Parlimen dan DUN Bersatu dengan ini mengambil keputusan untuk mengisytiharkan keluar parti Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan ini dibuat bukan atas desakan mana-mana pihak dan ianya lahir dari komitmen kami sendiri dengan rela hati,” katanya yang juga bekas calon Bersatu Parlimen Setiu Terengganu pada sidang media di Kelab Tasik Putrajaya, di sini, hari ini.

Daripada 13 calon wakil rakyat Bersatu yang mengumumkan keluar parti hari ini, sembilan daripadanya bertanding di peringkat Parlimen, manakala empat lagi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU14 lalu.

Selain Mohd Faudzi, turut sama ialah bekas calon Parlimen Jeli Kelantan, Azran Deraman; bekas calon Parlimen Besut Terengganu, Datuk Ir Wan Nazari Wan Jusoh; bekas calon Parlimen Pasir Salak Perak, Prof Dr Salihuddin Radin Sumadi; bekas calon Parlimen Kuala Krau Pahang, Mohamad Rafidee Hassim; calon Parlimen Penggerang Johor, Norliza Ngadiman; calon Parlimen Larut Perak, Datuk Khairil Anuar Akhiruddin; calon Parlimen Gua Musang Kelantan, Mohd Nor Hussin dan calon Parlimen Lenggong Perak, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin.

Manakala bekas calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu pula ialah calon DUN Semerak Kelantan, Kapten (B) Wan Marzudi Wan Omar; bekas calon DUN Tedong Kelantan, Dr Wan Zulkhairi Wan Md Zain dan calon DUN Bebar Pahang, Afif Syairol Abdul Rahim.

Dalam pada itu, Mohd Faudzi berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik pada masa ini sebaliknya mahu menjadi pemerhati sahaja.

Bagaimanapun pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menyertai parti politik baharu yang akan ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya proses pendaftarannya selesai dalam masa terdekat.

“Buat masa sekarang kita keluar daripada Bersatu, tapi kita kekal berprinsip, kita tidak akan bersama dengan PN. Tapi ada dalam kalangan kami masih memerlukan masa untuk memikirkan apakah parti yang terbaik untuk disertai.

“Parti Tun M ini tidak rasmi lagi, ia masih belum secara rasmi ditubuhkan, kalau dia sudah rasmi mungkinlah kita ambil borang dan isi kepada sesiapa yang berminat.

“Mungkin kita akan buat majlis kedua, majlis masuk parti (Tun M) pula,” jelasnya.

Ditanya kewajaran tindakan keluar parti, beliau menjelaskan, pihaknya tidak mahu terburu-buru menyertai parti politik dan bukan mahu menjadi ahli poltik semata-mata tanpa melihat kepada hala tuju yang jelas.

“Politik ini sangat dinamik sekarang, jadi kita tak boleh tergopoh-gapah, kita masuk politik dengan tujuan jelas melihat tujuannya untuk membantu negara dengan pelbagai cara.

“Sekarang ini politik tenggelam timbul, kita tengok dulu mana hala tuju yang sesuai, daripada kita berebut-rebut sokong Tun tengah dilambung ombak ini susah juga, nanti tak sampai ke matlamat perjuangan,” katanya

Selain itu, keputusan keluar Bersatu itu juga dibuat susulan ketidakstabilan politik negara telah menjejaskan ekonomi negara apabila pelabur asing masih takut untuk melabur di negara, lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik Covid-19.

Berikutan itu, mereka juga mahu pilihan raya umum diadakan segera bagi memulihkan semula tahap keyakinan pelabur negara untuk kembali melabur di negara ini dengan mempunyai kerajaan yang lebih stabil melalui sistem demokrasi.

“Mandat untuk memilih satu kerajaan baharu perlu diserahkan semula kepada rakyat untuk membuat pilihan melalui pilihan raya umum dan bukannya melalui lompat parti yang telah meruntuhkan Kerajaan Persekutuan dan beberapa negeri.

“Ini memberi kesan sangat tidak elok atas prinsip demokrasi melalui pilihan raya dan ianya mengkhianati mandat rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

3 Komen

  1. Alahai…. nak ikut tun?… maaf banyak2.. .. lepas tun tiada ko rang nak ikut sapa pulak? ‍♂️‍♂️‍♂️.

  2. Keluar lah. Tak ada untungnya mereka ni dalam Bersatu. Tak ada sumbangan sedikitpun pada parti dan masyarakat. Tiada nilai perjuangsn pun. Elok lah masuk parti Pejuang. Boleh klepet banyak duit dan jadi kaya raya berbillion macam keluarga prngegufi dan presiden.

  3. Kamu semua hanya calon yang DAH kalah..
    Yang hanya menumpang glamour pilihanraya dimana janji2 manifesto pun x mampu dilaksanakan..tak payah pusing2 sapa yg salah yg betul jika perjuangan sendiri pun macam lalang..
    P la terjun bersama atuk madey n labu2 nye yg lain tu..

Comments are closed.