Anggota Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memecahkan sebahagian bumbung ketika membuat serbuan dipercayai premis judi haram pada Operasi Bersepadu MBSA di sekitar Sungai Buloh, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 12 OGOS 2020.

MINGGU ini agak kecoh dengan isu pembongkaran gerai haram dan operasi premis
perjudian dalam talian di Sungai Buloh. Semua bermula apabila tertularnya sebuah
video yang cuba membongkar kegiatan tersebut sehingga menarik perhatian seluruh
rakyat Malaysia. Akhirnya Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri sendiri
mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan pengadu dan pihak berkuasa juga sudah
mula mengambil tindakan yang sewajarnya.

Hakikat pedih yang perlu kita telan ialah rasuah dan salah guna kuasa memang
berlaku dalam kalangan anggota penguat kuasa. Kita tidak boleh menafikan perkara
ini begitu saja, kerana buktinya sudah ramai anggota penguat kuasa dari pelbagai
agensi penguatkuasaan ditahan dan didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM). Namun janganlah kita label semua semua penguat kuasa itu tidak
betul, tidak amanah dan makan rasuah.

Ironinya kelompok yang bergelumang dengan segala jenis salah laku dan perbuatan
tidak beretika dan tidak bertanggungjawab ini secara relatifnya masih kecil dan
minoriti. Ini bermaksud majoriti penguat kuasa yang ada masih berpegang teguh
kepada prinsip “Saya Yang Menjalankan Amanah” sebagai rukun dan panduan dalam
kerja seharian mereka.

Cuma kita akui tindakan kelompok minoriti itu sememangnya umpama kerana nila
setitik rosak susu sebelanga, habis keseluruhan imej dan nama baik anggota penguat
kuasa dan agensi penguatkuasaan terjejas dan boleh menyebabkan dipandang
rendah oleh anggota masyarakat. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana boleh
menjatuhkan semangat dan melemahkan motivasi kelompok majoriti yang masih
menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Justeru kita berharap anggota
masyarakat boleh berganding bahu bersama-sama dengan agensi penguatkuasaan

untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan bukan sekadar menuding jari
menyalahkan anggota penguat kuasa semata-mata.

Secara prinsipnya tidak akan ada permintaan jika tidak ada penawaran. Maksud di
sini jika anggota masyarakat tidak menawarkan sebarang rasuah atau berani
menolak jika ada permintaan rasuah maka kemungkinan besar kita dapat menangani
masalah rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa. Untuk itu, anggota
masyarakat terlebih dahulu tidak boleh melakukan sebarang aktiviti yang melanggar
undang-undang sehingga terpaksa menyogok anggota penguat kuasa untuk
meneruskan kegiatan tersebut. Kalau kita boleh berniaga dengan jujur dan
mematuhi undang-undang, tiada keperluan untuk takut serta terpaksa memberikan
rasuah. Begitu juga di pihak anggota penguat kuasa, jika semuanya berjalan dengan
baik dan tiada sebarang salah laku dari pihak peniaga, tiada sebab untuk anggota
penguat kuasa mengenakan sebarang hukuman atau ugutan.

Jadi iltizam untuk mencegah rasuah perlu membabitkan komitmen kedua-dua pihak
iaitu orang yang memberi dan orang yang menerima. Selama ini kita seolah-olah
hanya memberikan perhatian kepada orang yang menerima sahaja. Kita
menyalahkan anggota penguat kuasa seratus peratus umpama hanya mereka sahaja
yang bersalah.

Dalam konteks ini kita sama sekali tidak menafikan penglibatan sekelompok anggota
penguat kuasa yang tamak dan sanggup menggadai maruah dan nilai integriti
mereka, cuma apa yang hendak diberi penekanan ialah kita perlu berlaku adil dalam
menilai punca dan faktor yang menyumbang kepada aktiviti salah guna kuasa seperti
ini. Ringkasnya, jika kita mahu memerangi rasuah dari peringkat akar umbi,
perbuatan rasuah dan salah guna kuasa ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih
menyeluruh membabitkan semua pihak yang terlibat.

Penulis sama sekali tidak akan membela kelompok minoriti penguat kuasa yang
mengkhianati amanah dan kepercayaan rakyat dan negara. Mereka tetap bersalah.
Namun dalam kita menghukum kelompok minoriti itu jangan kita melupakan

kelompok masyarakat yang turut menyumbang kepada salah laku rasuah ini. Orang
yang menawarkan rasuah juga perlu diambil tindakan yang sewajarnya.

Semoga kita ambil iktibar dengan insiden ini dan masing-masing boleh memainkan
peranan agar dapat memerangi rasuah secara menyeluruh. Jangan lupa, satu jari
menuding kesalahan orang, empat lagi jari akan menuding kembali kepada kita.

Oleh: Noor Mohamad bin Shakil Hameed
Penganalisis Isu Semasa

1 Komen

  1. Jika Ada Iman didada, apa pun rasuah yg ditawarkan kpd org yg memegang amanah ia boleh menolaknya.
    Persoalanya dimana perginya Iman ? Sedangkan mengaku Islam.

    Pemegang amanah punya pilihan utk menerima atau menolak rasuah.
    Sesungguhnya yg memberi rasuah itu bkn sebahgian dr ahli masyarakat tetapi sebahgian dr ahli penjenayah.
    Maka begitu jugalah kpd mereka pemegang amanah yg menerima rasuah.

Comments are closed.