Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad.

TERUS terang saya katakan, tidak ada orang Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai masalah sekiranya Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh begitu yakin bahawa masa depan UMNO terletak pada hubungan yang semakin mesra dengan Pas. Tidak ada.

Kalau itu pilihan politik beliau dan UMNO mahu menerokainya, silakan. Cuma jangan setiap kali UMNO mahu membuktikan kesetiaan kepada rakan baharu, PH pula dijadikan sasaran untuk menutup persoalan lebih besar: apakah Pemuda UMNO sudah tidak lagi yakin bahawa UMNO mampu membina kekuatannya sendiri?

Hari ini Dr Muhamad Akmal bercakap mengenai UMNO dan Pas yang ‘sama-sama terluka’ serta menyeru supaya persengketaan lama tidak diwariskan kepada generasi akan datang. Itu hak beliau dan sama sekali tidak salah.

Tetapi apabila pada masa yang sama mencipta persengketaan baharu dengan PH semata-mata untuk menghalalkan perubahan haluan politik sendiri, ia seolah-olah membakar jambatan lama bagi menerangi jalan baharu di hadapan.

Apa salah PH sehingga begitu mempengaruhi sikap Dr Muhamad Akmal terhadap rakan dalam Kerajaan Perpaduan?

Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah bersama PH sejak penubuhannya pada 2015. Sepanjang perjalanan itu, bukan sedikit cacian, serangan dan tohmahan yang kami terima. Ada ketika kami bersetuju dan ada ketika kami berbeza pandangan.

Namun, kami tidak menjadikan setiap perbezaan sebagai alasan untuk berpencak silat mencari gandingan politik baharu.

Politik yang matang dibina atas prinsip dan kesetiaan kepada keputusan kolektif, bukan berdasarkan gabungan yang dilihat paling menguntungkan pada sesuatu tempoh.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dr Muhamad Akmal juga tidak perlu terus menjadikan Selangor sebagai modal untuk melaga-lagakan komponen PH.

Isu penternakan babi yang pernah beliau jadikan bahan serangan telah pun diputuskan oleh Kerajaan Negeri dengan penuh berhemah. Perancangan penternakan itu tidak diteruskan selaras dengan pendirian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Yang jelas, EXCO Kerajaan Negeri daripada UMNO juga merupakan sebahagian daripada anggota mesyuarat tersebut.

Maka, jangan cuba menghidupkan semula isu yang telah mempunyai keputusan hanya kerana kekurangan modal politik untuk menyerang pentadbiran Selangor.

Ini juga perkara yang telah saya tegur kepada Ustaz Shukri Omar, Ketua Pemuda Pas Selangor, minggu lalu.

Mungkinkah secara kebetulan skrip yang sama perlu dipekik-pekik oleh pimpinan muda kedua-dua parti?

Ironinya, Perhimpunan Agung UMNO yang sepatutnya menjadi medan Pemuda UMNO membincangkan strategi membina semula keyakinan generasi muda, memperkukuh organisasi, melahirkan kepimpinan baharu dan mengembalikan kekuatan parti sendiri, tidak digunakan sebaiknya sehingga PH sekali lagi cuba dijadikan momok.

Walhal, Timbalan Presiden UMNO sendiri mengingatkan UMNO tidak sepatutnya berharap kepada naungan atau ihsan parti lain untuk membina kekuatannya.

Hakikatnya, sejak 2018 UMNO tidak lagi berdiri sendiri untuk membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Malah, UMNO mengambil masa hampir 15 tahun untuk kembali menjadi sebahagian daripada pentadbiran Selangor, hanya apabila PH menghulurkan tangan menjadi gandingan politik dalam Pilihan Raya Negeri Selangor 2023.

Jangan jadikan slogan ‘penyatuan ummah’ sebagai tirai untuk mengaburkan hakikat bahawa politik UMNO sedang mencari arah.

Semalam bermusuh, hari ini berpelukan, esok belum tentu terus berhubungan.

Masyarakat boleh menilai sendiri sama ada ini benar-benar perjuangan penyatuan atau sekadar percaturan mencari formula kuasa apabila kedudukan politik sendiri semakin terhakis.

Dr Muhamad Akmal, jika mahu menjadi hero kepada agenda hubungan UMNO-Pas, teruskan.

Anda telah menunjukkan kesungguhan tanpa jemu sehingga sanggup menjadi ejen pemecah-belah dan mengapi-apikan sentimen perkauman, sedangkan ada waktunya perkara seperti ini boleh dirundingkan dengan semangat kenegaraan.

Namun, menjadikan PH sebagai `beg tumbuk’ setiap kali mahu mendapat tepukan di hadapan penyokong sendiri, kami rasa anda sudah sampai ke garisan penghabisan.

Kini ibarat membuang selimut yang pernah menghangatkan, demi menyarung baju baharu yang belum tentu selesa.

PH bukan sekadar lahir daripada forum dan bilik dialog. PH bukan muncul hanya daripada diskusi dan bedah buku.

PH lahir daripada darah, keringat dan air mata melawan kezaliman.

Anak muda kami ditempa oleh api pertarungan. Mereka tidak takut pada bara dan akan terus berdiri di gelanggang ini mempertahankan prinsip yang kami perjuangkan.

Kerana kami tahu siapa sahabat kami, apa prinsip yang kami junjung dan apa peranan kami dalam memartabatkan rakyat.

Kerajaan Persekutuan ini juga tidak akan jatuh hanya kerana ketakutan yang kamu tanam, dakyah penyatuan atau ucapan berapi-api di pentas perhimpunan.

Kalau benar mahu merampas Putrajaya, datanglah dengan dasar yang lebih baik, angka yang lebih meyakinkan dan tawaran yang lebih baik untuk rakyat.

PH adalah ombak yang pernah merempuh karang. Tidak gentar pada gelora dan akan terus menghentam pantai tanpa henti sehingga tebing keangkuhanmu akhirnya runtuh dan berkecai.

SAIFUDDIN SHAFI MUHAMMAD
SUPOL YAB Menteri Besar Selangor
merangkap Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here