Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 dan Majlis Jasamu Dikenang Jabatan Imigresen Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 OGOS 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan bahawa keselamatan rakyat negara ini akan sentiasa diutamakan, apatah lagi badan bukan kerajaan (NGO) yang sentiasa membantu kerajaan menyalurkan maklumat salah guna kuasa pemimpin tertentu.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan, sekiranya wujudnya sebarang ancaman mahupun ugutan hingga boleh menggugat nyawa mana-mana pihak, PDRM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas.

“Jangan kita buat cerita-cerita yang bukan-bukan, tentunya kalau perkara itu benar, polis akan ambil tindakan nak melihat dari segi kedudukan orang yang dituduh dari segi orang yang menuduh dan juga semua agensi-agensi terbabit termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Kerajaan kita ini adalah kerajaan yang sentiasa mengikut kedaulatan undang-undang. Jadi apa pun yang berlaku, rakyat tak payah bimbang asalkan kita masih lagi bersedia melakukan yang terbaik mengikut undang-undang,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar bahawa nyawa beliau terancam selepas menerima ugutan bunuh daripada seorang ahli politik dari Sabah.

Ia susulan tindakan Zulkarnain pada 5 Ogos lalu yang membuat laporan salah guna kuasa dan dakwaan berlakunya rasuah melibatkan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Menurut Zulkarnain, tindakan Juhar yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu dipercayai menerima imbuhan tertentu daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – MalaysiaGazette