KUALA LUMPUR – Ekoran penularan di media sosial bahawa dua pekerja Restoran Ali Maju Sdn Bhd dijangkiti Covid-19, pemilik rangkaian restoran itu, Datuk Jawahar Ali Taib Khan hari ini tampil mengeluarkan kenyataan menjelaskan perkara tersebut.

Jawahar Ali Taib berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama empat belas hari bagi kerja-kerja pembasmian kuman.

“Saya selaku pemilik Rangkaian Restoran Ali Maju Sdn Bhd mengesahkan menerima notis penutupan yang tular di salah sebuah cawangan restoran di Wisma Rampai hari ini.

“Seperti mana semua pihak sedia maklum, pengurusan restoran sentiasa peka dengan apa juga keadaan persekitaran dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 sejak ia melanda negara Mac lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawahar Ali Taib Khan

Hari ini tular satu gambar yang menunjukkan restoran itu yang terletak di Wisma Rampai diberikan notis perintah menutup premis.

Restoran berkenaan diberi tempoh selama 14 hari bagi kerja-kerja pembasmian kuman di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit.

Dalam mesej yang tular hari ini, pelanggan yang berkunjung ke restoran itu pada 1 hingga 14 Ogos lalu diminta untuk menjalani saringan Covid-19.

“Sesiapa ada pergi ke restoran Ali Maju dari 1/8/2020 hingga semalam 14/8/2020, tolong maklum dengan segera,” demikian menurut mesej berkenaan.

Untuk rekod, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan tiga kes positif Covid-19 yang mana dua adalah kes penularan tempatan dan satu kes penularan luar negara. – MalaysiaGazette