Che Pah bersama rakan-rakan darjah 1 Serindit

Marhaba… Darjah 1 Serindit. Itu kelas Che Pah kala pertama kali menginjak kaki ke Ismail School, Muar.

Hari pertama masuk sekolah, hati Che Pah berbaur dengan pelbagai rasa. Budak dulu sangat takut. Tidak berani dan lepas laku seperti budak zaman sekarang.

Umi bawa Che Pah mendaftar pada hari pertama. Malam sebelumnya beg sekolah sudah di kemas. Umi belikan beg sekolah seperti sebuah kotak yang bercorak kotak kotak merah hitam.

Beg sebegini cukup popular dulu. Maklum Che Pah masuk sekolah tahun 1979. Selesai mendaftar kami dibahagikan kepada kelas masing masing.

Che Pah masuk kelas pertama. Kelas Serindit. Kelas budak pandai kata Cikgu. Macam mana Cikgu mengklasifikasikan sebagai pandai itu kurang pasti Che Pah sedangkan kita baru sahaja masuk Darjah Satu. Baca pun belum pandai.

Cikgu kelas Che Pah bernama Miss Teng. Seorang guru berbangsa Cina. Selain sebagai guru kelas, Miss Teng turut mengajar Bahasa Inggeris, mata pelajaran kegemaran Che Pah.

Paling tidak boleh lupa bila Che Pah dapat sebuah buku cerita berbahasa Inggeris bertajuk The Ugly Duckling. Miss Teng beri hadiah kepada Che Pah kerana dapat markah penuh dalam mata pelajaran ini.Bangga sangat masa itu.

Lama jugak Che Pah simpan buku ini. Akan tetapi malangnya entah ke mana pergi. Niat mahu simpan. Tetapi ia hilang tak tau ke mana.

Berbalik kepada cerita pada hari pertama persekolahan, Umi hanya menunggu Che Pah satu hari sahaja. Selepas itu pandai pandai Che Pah bawa diri. Che Pah tengok budak budak lain ada yang sampai berhari hari ibu mereka menunggu di luar kelas.

Tercangak cangak ibu atau ayah mereka mengintai dari luar tingkap kelas. Ada yang bila tidak kelihatan ibu mereka di luar apalagi satu kelas kecoh dengan tangisannya. Takut ibu dia lari.

Itulah budak dulu. Tak boleh berenggang dengan Emak. Budak budak sekarang seminit masuk kelas dah siap ada kawan. Tidak perlu ibu menunggu. Dia pula yang minta ibu balik.

Bila mengenang kisah dalam Darjah Satu buat Che Pah tersenyum sendiri. Paling tidak boleh lupa apabila ada budak yang terbuang air besar di dalam kelas.

Habis satu kelas berbau. Dek kerana takut hendak minta izin ke tandas, diam diam dia buang air dalam seluar. Apalagi kecoh satu kelas dibuatnya.

Namun Che Pah tabik dengan cikgu dulu. Mereka tidak marah. Tidak banyak cerita cikgu terus bawa pelajar ke tandas, dicebokkan dan dibersihkan seluar terkena najis tadi.

Sekolah Che Pah dulu ada menyediakan seluar pinjaman. Seluar pendek yang diikat jerut di bahagian pinggang. Ini dikhaskan untuk pelajar yang sudah terbuang air dalam kelas.

Jadi bila kita tengok budak pakai seluar itu maka tahulah yang dia sudah buang air dalam kelas.Tunduk tunduk malu budak itu kala berjalan. Malu kerana kawan kawan tahu apa yang dia sudah buat.

Che Pah rasa sekarang sudah tiada kejadian tragis sebegini. Dunia sudah moden. Budak sekarang pun sudah lebih cerdik dan cepat matang.

Budak sekarang lebih berani dari kita dulu. Jadi sudah tidak takut untuk minta izin ke tandas seperti kita dulu. Masa merubah segalanya.

Berbalik kisah cikgu tadi, selain Miss Teng masih kemas dalam ingatan Che Pah beberapa cikgu lain. Cikgu yang membawa Che Pah ke luar dari buta huruf.

Cikgu mengajar tulisan Jawi antara favourite Che Pah. Nama beliau Cikgu Abdul Hadi. Orangnya tinggi kurus. Sangat lembut dan tidak garang.

Cikgu Esah pula stail cikgu dulu dulu. Cikgu perempuan yang seorang ini stail orang Johor lama. Sentiasa berpakaian baju kurung Johor dengan poket di depan.

Rambut disiput dengan cermin mata besar. Kasut tumit tinggi sarung melengkapi gaya beliau. Orangnya sangat garang.

Setiap hari bertukar rotan. Rotan hari ini yang Cikgu Esah bawa pasti hancur samada menjadi santapan ditangan kami mahupun punggung atau sekadar dilibas di atas meja untuk mengejutkan kami yang leka.

Cikgu dulu tidak takut pukul murid.

Emak dan ayah sudah memberi lampu hijau. Kata mereka, jika nakal dipukul saja cikgu asal jangan sampai memudaratkan.

Siapa berani bilang dipukul cikgu. Jika balik dari sekolah dan cerita yang kita disebat oleh cikgu bukan simpati yang kita dapat tapi sedas lagi diberi. Maka hari itu kenyang makan sebatan jawapnya.

Budak dulu sangat takut dan hormat dengan cikgu. Tak berani hendak mendahului cikgu kalau berjalan di sekolah. Cikgu berjalan di depan dan kita di belakang.

Kala berselisihan dengan cikgu pasti kita ketepi dan tunduk. Takut hendak tengok muka cikgu.

Itu hormat budak dulu dengan cikgu. Kita anggap cikgu seperti ibu atau bapa kita. Hormat jangan cakap.

Walid selalu pesan. Hormat pada Cikgu penting jika kita mahu pelajaran yang kita dapat itu berkat. Jangan melawan guru. Akibatnya nanti kita jadi benak dan susah hendak mencerap ilmu yang disampaikan cikgu.

Selain kedua cikgu di atas, seorang lagi cikgu yang masih Che Pah ingat ialah Cikgu Daud. Cikgu Daud mengajar kami matapelajaran Agama Islam. Tapi waktu itu masih di sebut Ugama Islam sebelum diselaraskan kepada sebutan Agama seperti sekarang.

Cikgu Daud garang juga. Paling buat Che Pah ingat Cikgu Daud kerana minatnya memakai banyak cincin. Besar sungguh cincin yang Cikgu Daud pakai. Ia seolah trademark buat Cikgu Daud.

Dulu di sekolah ada matapelajaran Ilmu Pertanian dan Tata Rakyat. Kedua dua matapelajaran ini Che Pah suka. Mungkin kerana duduk dengan nenek yang suka tanam pokok dan mengajar tentang adab membuatkan Che Pah suka kedua matapelajaran ini.

Namun malangnya sekarang matapelajaran Tata Rakyat sudah tidak diajar di sekolah. Che Pah rasa ia patut dikembalikan terutama diperingkat awal persekolahan agar anak bangsa terdidik dengan adab dan etika.

Darjah Satu banyak menyimpul kenangan buat Che Pah. Antara yang paling Che Pah takut apabila tiba masa untuk pemeriksaan gigi dan suntikan BCG.

Tuhan saja yang tahu debaran jantung Che Pah. Sekolah Che Pah ada klinik gigi disediakan. Jadi sampai masa kami beratur untuk diperiksa gigi. Bau ubat dekat klinik itu pun sudah cukup menggetarkan jiwa.

Cukup masa, cikgu akan beritahu yang pihak Kementerian Kesihatan akan datang untuk memberi suntikan BCG. Macam nak lari rasanya. Punyalah takut. Akan tetap bila dan disuntik tidak kisah apa pun.

Namun tidak kurang juga yang meraung satu dewan tempat suntikan diberikan. Habis segala nama Emak, Ayah, Nenek, Atok dipanggil. Macam nak roboh dewan dibuatnya.

Che Pah hairan kenapa ada di kalangan ibu bapa sekarang yang tidak mahu anak mereka disuntik. Ada yang sangat menentang sedang kan ia adalah untuk kebaikan anak mereka.

Ada yang beranggapan ia bahaya untuk anak mereka. Mereka bercakap kalahkan doktor. Kami yang dapat suntikan ini dulu sihat walafiat sampai sekarang.

Che Pah doakan semua guru Che Pah ini bahagia di di dunia dan akhirat. Kerana mereka Che Pah celik huruf. Kerana mereka Che Pah kenal dunia. Asbabkan mereka Che Pah jadi INSAN dan bukan sekadar MANUSIA.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast