Calon Barisan Nasional (BN) ,Mohd Zaidi Aziz bercakap kepada media selepas mengadakan sesi walkabout bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Pekan Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 16 OGOS 2020.

TANJUNG MALIM – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz tidak mengambil sikap ambil mudah dan selesa walaupun hanya berdepan dua calon bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim pada 29 Ogos ini.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu berkata, apa yang penting, BN mahu meraih kemenangan besar pada PRK kali ini.

Justeru kata beliau, jentera BN perlu sentiasa bersiap sedia untuk berdepan dalam pertandingan itu.

“Kita perlu sentiasa bersiap sedia berdepan dua calon bebas, kita tak pandang mudah selesa kerana dalam apa juga pertandingan, kita perlu menang.

“Yang pasti kita mahukan kemenangan besar dalam pertandingan ini,” katanya selepas menghadiri majlis Santai Melukis Mural di Pasar Slim River hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengulas lanjut, Mohd. Zaidi memberitahu, beliau memilih untuk berkempen secara bersemuka dengan pengundi berbanding mengadakan ceramah atau program.

Jelas beliau, ini kerana selain dapat beramah mesra dengan pengundi, ia juga dapat mengelak keadaan bersesak di sesuatu acara atau ceramah bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Dengan melakukan kempen secara bersemuka ini, saya dapat lebih mesra dengan pengundi dengan mendengar pelbagai keluhan dan pandangan daripada mereka serta menjaga prosedur operasi standard (SOP), tidaklah berhimpit dan bersesak berbanding mengadakan ceramah atau program di dalam dewan,” katanya selepas bertemu masyarakat India di sekitar Slim River.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan sepanjang tempoh berkempen yang bermula semalam, setiap calon perlu mematuhi peraturan termasuk penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, saringan suhu badan, penggunaan pensanitasi tangan, selain mengehadkan kehadiran tidak melebihi 250 orang bagi aktiviti ceramah.

Mohd Zaidi menambah, beliau juga akan menggunakan media sosial seperti Facebook untuk berkempen.

Tambahnya, beliau akan cuba bertemu dengan seramai mungkin pengundi di DUN Slim, selain menemui jentera parti di kesemua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memberikan kata-kata semangat dan perangsang untuk mereka melaksanakan kempen mempertahankan kerusi DUN berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast