Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Seramai 286 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 44 individu telah direman manakala 242 individu pula dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk (34), premis beroperasi lebih masa (4), tidak memakai pelitup muka (35), serta aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (213),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, sejak 24 Julai sehingga 16 Ogos 2020, seramai 12,063 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 61 hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, dan Labuan.

Daripada jumlah itu, seramai 43 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 4,886 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand & Amerika Syarikat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast