KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap meneruskan Projek Sarawak – Sabah Link Road (SSLR) yang dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama dari Lawas ke Kampung Pa’ Berunut dan fasa kedua dari Kampung Pa’ Berunut ke Long Lama.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, surat niat (LOI) telah dikeluarkan kepada kontraktor pada 7 Julai lalu manakala SST akan dikeluarkan apabila kontraktor memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam dokumen tender.
“Bagi projek Lebuh Raya Trans Borneo pula, kerajaan masih meneruskan projek tersebut yang akan menghubungkan Negara Brunei Darussalam, Indonesia dengan negeri-negeri Sarawak dan Sabah di Malaysia.
“Namun, pada masa ini, kerajaan hanya menumpukan kepada penyiapan Lebuh Raya Pan Borneo dan Sarawak Sabah Link Road dahulu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (Kimanis-BN), Datuk Mohamad Alamin yang meminta kementerian menyatakan status dan kemajuan semasa tentang Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo (Sabah) dan juga perkembangan projek Lebuh Raya Trans Borneo serta projek Sarawak Sabah Link Road yang telah diluluskan oleh kerajaan.
Mengulas mengenai perkara itu, Eddin Syazlee berkata, status kemajuan bagi fasa satu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sehingga Jun 2020 adalah 32 peratus untuk 11 pakej kerja yang sedang dilaksanakan.
Kataya, tiga pakej kerja baharu dan satu pakej kerja melibatkan laluan dari Tawau ke Semporna yang telah ditamatkan kontrak kini sedang ditender dan dijangka dimuktamadkan tahun ini. – MalaysiaGazette