KOTA KINABALU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 21 Ogos ini untuk membuat keputusan sama ada menolak atau menerima perbicaraan kes cabaran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lalu
Pesuruhjaya Kehakiman, Leonard David Shim menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak selama hampir empat jam yang bermula pada pukul 9.30 pagi.
Hujah lisan dimulakan peguam mewakili gabungan Tan Sri Musa Aman, Tengku Fuad Tengku Ahmad.
Peguam Besar Negeri Sabah, Brandon Keith Soh mewakili Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin, Kerajaan Negeri Sabah dan Ketua Menteri Sabah sementara, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
David juga membenarkan permohonan Tengku Fuad Ahmad untuk menyerahkan jawapan bertulis sebagai jawapan kepada hujahan lisan oleh peguam mewakili para responden.
Pengamal media, penamal undang-undang serta ahli politik yang hadir di mahkamah hari ini menjangka keputusan akan dibuat hari ini, tidak kira jika ia berlarutan hingga ke petang.
Bagaimanapun, David menetapkan Jumaat ini untuk memperdengarkan keputusannya setelah mendengar hujah lisan dan bertulis oleh kedua-dua pihak.
Berikutan itu, persoalan timbul apa yang akan terjadi dengan sidang mediaa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi, Dr Azmi Shahrom petang ini berhubung tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sementara itu, Tengku Fuad yang ditemui pemberita di luar bilik bicara memberitahu, pihak Peguam Negeri Sabah telah mengemukakan fakta atau maklumat baharu yang memerlukan maklum balas bertulis daripada pihaknya.
“Peguam Negeri juga telah menyatakan 33 ADUN ini sebenarnya tidak mempunyai hak untuk mencabar keputusan TYT ini di mahkamah dan sememangnya hujah itu salah.
“Saya telah memohon untuk jawapan bertulis dari pihak kami yang akan kami serahkan jawapan hujah balas Rabu ini, oleh yang demikian keputusan berhubung ini akan di buat pada Jumaat ini,” katanya.
Pada 30 Julai, mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan mendapat kebenaran Juhar untuk membubarkan DUN serta-merta bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari.
Sebelum itu, Musa yang merupakan bekas Ketua Menteri mengumumkan mendapat sokongan 33 daripada 65 ADUN untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu. – MalaysiaGazette