Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) berharap kerajaan Perikatan Nasional dapat memperhalusi cadangan-cadangan belanjawan yang dikemukakan oleh rakyat, melalui saluran Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima pelantikan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan sokongan majoriti ahli Parlimen disifatkan satu perbuatan mulia dan bukannya pengkhianatan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen (Arau-BN), Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, Muhyiddin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah melakukan pengkhianatan sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang pada Mac lalu.

Sebaliknya menurut Shahidan, tumbangnya kerajaan PH adalah disebabkan tindakan Ahli Parlimen (Langkawi-Bebas), Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 secara tiba-tiba kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada 24 Februari lalu.

“Pada perbahasan lepas YB Langkawi memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau tidak berhenti menjadi Perdana Menteri kerana kerajaan PH sudah terbubar.

“Oleh itu, saya ingin bertanya bahawa Bersatu sudah mengadakan mesyuarat pada 23 Feruari lalu antara jam 11 pagi hingga 3 petang dan membuat keputusan Bersatu akan keluar daripada PH kerana bahayanya DAP dan Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjadi Perdana Menteri seterusnya.

“Justeru, pada jam 4 petang hari yang sama, Perdana Menteri ketika itu (Dr Mahathir) memanggil semua Presiden Parti iaitu Presiden UMNO, Bersatu, PAS dan GPS untuk memaklumkan Bersatu akan keluar PH dan sebuah kerajaan perpaduan akan diwujudkan.

“Pada ketika itu Perdana Menteri sudah mendapat sokongan majoriti 131 Ahli Parlimen. Pada jam 5 petang kelima Presiden termasuk Timbalan Presiden PKR iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenaan baginda.

“Baginda kemudian bertanya semua parti sama ada mereka bersetuju menyokong Langkawi (Dr Mahathir) sebagai Perdana Menteri dengan sokongan 131 ahli parlimen lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah pada sesi perbahasan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Peruntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 oleh Ahli Parlimen (Gerik-BN), Datuk Hasbullah Oslam di Parlimen hari ini.

Shahidan yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN BBC) berkata, semua ahli Parlimen berkenaan kemudian dijemput menghadiri majlis makan malam di Hotel Sheraton, pada waktu malamnya.

“Pada waktu malam kami yang tidak tahu apa-apa dijemput ke Hotel Sheraton untuk makan malam tetapi ramai tidak tahu bahawa kami hanya makan dan tiada ucapan. Ramai mereka yang tidak hadir mendakwa ia adalah ‘langkah Sheraton’ walaupun kami tidak tahu apa-apa pun.

“Kami juga bertanya siapa yang anjur tetapi semua yang hadir mendakwa tidak tahu apa-apa. Pada keesokan harinya Presiden Bersatu dan Timbalan Presiden PKR bertemu Langkawi sekali lagi namun muka Dr Mahathir berubah dan tidak seperti semalam.

“Rupanya Langkawi sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk berhenti menjadi Perdana Menteri, selepas itu Al-Sultan Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa baginda sudah memujuk Dr Mahathir supaya tidak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, namun tidak diendahkan.

“Kita hairan kenapa Langkawi menerima pelantikan sebagai Perdana Menteri Interim walaupun ia dikatakan tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Berikutan itu, Shahidan menegaskan Ahli Parlimen Pagoh adalah Perdana Menteri yang sah dan penyelamat Malaysia daripada masalah penularan Covid-19 bukannya pengkhianat seperti didakwa sesetengah ahli Parlimen PH.

“Dia (Muhyiddin) adalah penyelamat Malaysia kerana dapat menangani masalah Covid-19 dan ekonomi negara dengan begitu baik sekali, manakala PH diterajui bersama oleh DAP gagal menyelesaikan masalah ekonomi negara,” katanya.

Isu pengkhianatan itu terus berlanjutan apabila Ahli Parlimen (Sepang-PH) Mohamed Hanipa Maidin mencelah untuk bertanya soalan kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan-BN) sama ada perpaduan wujud hasil pengkhianatan antara UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Bung Moktar yang bangkit menjawab, membalas Hanipa juga seorang pengkhianat keluar dari Pas.

Isu pengkhianatan bertambah panas setelah Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling-BN) juga bangun bertanya soalan adakah Bung Moktar setuju bahawa peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Dr Mahathir pada Februari lalu yang tidak dibincangkan dalam Majlis Presiden PH adalah menunjukkan siapa sebenarnya mengkhianati siapa.

Bung Moktar bingkas bangun sambil menjawab: “Saya ingat saya bagi Langkawi jawab”.

Dr Mahathir yang bangun menjawab, mendakwa episod pengkhianat bermula di Hotel Sheraton, membabitkan individu dalam parti gabungan disertainya sebelum ini bertindak bekerjasama dengan parti lawan yang terbabit dengan kleptokrasi, curi duit dan rasuah.

Katanya, mereka yang bersekongkol dengan lawan pernah berjanji sebelum ini untuk menolak parti berkenaan, namun sebaliknya pula berlaku.

“Saya dapati (Ahli Parlimen) Arau dan Baling mengaku bahawa mereka tidak tahu apa yang berlaku di Hotel Sheraton.

“Kalau tak tahu, tak payah cakaplah. Tetapi yang saya tahu berkenaan pengkhianatan, satu orang masuk dalam parti berjanji untuk tolak parti pemerintah yang terbabit dengan kleptokrasi, curi duit, rasuah dan sebagainya.

“Rakyat percaya akan apa yang dinyatakan orang ini. Setelah rakyat pilih orang ini mereka menolak harapan rakyat dan mengkhianati mereka dengan beralih menyokong parti yang dahulu katanya mereka lawan. Ini satu pengkhianatan juga,” katanya.

Bung Moktar dilihat bangun semula menjawab perkara dibangkitkan Dr Mahathir.

Katanya, Dr Mahathir orang pertama yang menerima kemasukkan individu dari UMNO yang dilabel bukan pengkhianat ke Bersatu dengan meletakkan syarat.

“Pada peringkat awal, saya rasa Langkawi orang pertama yang menerima kemasukan bukan pengkhianat, tetapi kawan-kawan saya dari UMNO ke Bersatu. Penerimaan berpilih-pilih pula nakkan yang bersih.

“Di situlah pergolakkan yang bimbangkan kita apabila Langkawi jadi Perdana Menteri dan Majlis Presiden dalam satu gabungan…tiba-tiba letak jawatan.

“Itu yang sebetulnya kita mahu dengar. Kenapa (Mahathir) letak jawatan tetapi tidak dimaklumkan. Siapa yang ajar dan nasihat Langkawi? Adakah Armada atau Batu Pahat?” selorohnya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Batu Pahat yang ajar. Armada masih budak lagi. Hanya tau mintak aiskrim dan lolipop aje.

  2. Tun…..tun mcm mana rakyat mau percaya lagi apa yang kamu cakapkan .terang terangan kamu terima kemasukan ahli umbo yang lompat masuk PPBM,Sedang sudah dibincangkan tidak mahu terima masuk ahli umno.kerana nak perbanyakan sokongan dalam parlimen tun sanggup mengkhianati parti lain dalam gabungan PH.Semua orang terkejut terutama Nurul Izzah Anwar parlimen parmatang pauh dan port Dickson.Semuanya berpunca dari yang mulakan dahulu.janganlah berpura pura lupa,tak ingat,tak tau,sebaliknya itulah hakikatnya.orang dengar apa yang tun cakapkan tapi orang sudah mempercayai apa yang kamu katakan,orang tak ambik pedulipun.

Comments are closed.