Gambar hiasan

Hijrah merupakan salah satu peristiwa penting di dalam sejarah umat Islam. Hijrah berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud berpindah. Pada umumnya, perpindahan difahami sebagai satu proses bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Namun, dalam konteks sejarah Islam, istilah hijrah merujuk kepada perjalanan yang diambil oleh umat Islam dan Nabi Muhammad SAW pada tahun 622 Masihi dari Kota Makkah ke Madinah. Tujuan penghijrahan ini dilakukan adalah untuk meneruskan penyebaran agama Islam. Ancaman kaum Arab Quraisy di Kota Mekah telah menjejaskan aktiviti penyebaran ajaran agama Islam. Hijrah merupakan satu strategi yang diambil bagi memastikan agama Islam dapat dikembangkan dengan aman dan sempurna. Hijrah juga membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan
sehingga menjadi sebuah masyarakat yang bertamadun dan
amat dihormati dan disegani oleh semua negara.

Tarikh Hijrah juga menandakan permulaan tahun dan tarikh
baru bagi umat Islam di serata dunia. Namun dalam menghayati peristiwa Hijrah ini, kita tidak seharus melihatkan peristiwa Hijrah dari aspek perpindahan fizikal dari sebuah tempat ke sebuah tempat yang lain. Hijrah juga tidak hanya terhad terhadap sambutan tahun baru ataupun mengadakan proses perarakan dengan memakai pakaian yang cantik-cantik. Umat Islam harus faham pengertian maksud Hijrah itu sendiri adalah lebih luas dimana ia turut meliputi perubahan minda dan sikap.

Hijrah juga boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk usaha atau
perjuangan untuk meninggalkan segala perkara yang buruk
ataupun mungkar kepada perjuangan untuk melakukan perkara kebaikan. Kebaikan terhadap orang sekeliling serta kebaikan terhadap diri sendiri. Antara perubahan yang boleh dilakukan ialah dengan meninggalkan sikap atau ketagihan merokok. Isu merokok merupakan satu isu penting pada masa kini kerana berjuta-juta orang telah menjadi ketagih terhadap bahan terbabit termasuk umat Islam sendiri.

Masalah penggunaan serta ketagihan terhadap rokok ini
dilihat menjadi semakin serius apabila ia mula digunakan
oleh golongan remaja dan kanak-kanak yang rata-ratanya masih bersekolah. Dengan kemunculan pelbagai teknologi moden, maka muncul pelbagai barangan yang seakan-akan sama dengan rokok seperti vape. Isu rokok dan vape perlu mendapat perhatian yang serius dari semua pihak kerana bahaya yang boleh dibawa olehnya terhadap diri penghisap rokok dan vape itu sendiri serta
kepada orang sekeliling yang tidak menghisap rokok dan vape. Banyak kajian telah dilakukan oleh pakar- pakar dari dalam dan luar negara terhadap bahaya rokok dan vape ini.

Bahaya rokok dan vape ini juga telah mula mendapat perhatian serius daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Kesan buruk yang dibawa oleh rokok dan vape ini juga tidak hanya terhad berlaku terhadap kesihatan manusia, ia juga boleh membawa kepada pembaziran wang, masa serta tenaga. Pelbagai usaha telah diambil bagi menghentikan ketagihan orang ramai terhadap rokok dan vape. Namun, ibarat mencurah air di daun keladi, masih ramai pihak yang sanggup membazirkan wang mereka semata-mata untuk memenuhi nafsu mereka terhadap
rokok dan vape. Lebih menyedihkan, terdapat juga sesetengah pihak yang sanggup membeli dan menggunakan rokok seludup yang lebih berbahaya kerana tidak dapat dipastikan asal– usulnya isi kandungannya.

Penggunaan rokok adalah jelas haram dalam Islam. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang Kali Ke-37 di Dewan Syura, Tingkat 11 pada 23 Mac 1995 yang lalu telah membincangkan isu mengenai “Hukum Merokok Dari Pandangan Islam” dan telah bersetuju untuk memutuskan bahawa “Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan”. Pengharaman rokok yang telah dibuat oleh pihak Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 berkenaan telah dibuat
berdasarkan tiga sebab utama iaitu merokok membahayakan kesihatan diri perokok itu sendiri, merokok juga mendatangkan kemudaratan kepada orang di sekeliling perokok khususnya melalui asap rokok yang dihasilkan, merokok juga boleh mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar dan perbuatan merokok ini juga menjurus kepada pembaziran wang, masa dan tenaga serta membawa kerugian kepada golongan perokok yang
menggunakannya. Agama Islam melarang keras umatnya
melakukan sebarang perkara yang membawa kemudaratan serta merugikan. Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam
Al-Qur’an melalui Surah Al-Baqarah, Ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”. Ketetapan yang sama juga telah diambil terhadap penggunaan vape.

Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 21 Disember 2015 telah
memutuskan bahawa hukum penggunaan rokok elektronik termasuk vape adalah haram. Keputusan itu dibuat setelah
membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk sudut syariah, perspektif perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat yang terdapat melalui
penggunaan vape ini. Kajian dari sudut kesihatan turut diambil kira hasil maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melakukan pengumpulan maklumat mengenai kesan penggunaan vape ini di seluruh dunia.

Oleh yang demikian, adalah amat wajar sekiranya umat
Islam mengambil peluang keemasan sempena kedatangan
Maal Hijrah pada kali ini untuk meninggalkan penggunaan
dan ketagihan mereka terhadap rokok, vape serta segala
sikap yang bukan sahaja tidak membawa manfaat dan
kebaikan buat diri mereka malah boleh membawa
kemudaratan dan keburukan kepada diri mereka sendiri dan
terhadap orang sekeliling.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang- Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast