Menteri Komunikasi, Saifuddin Abdullah. Foto Mohd Adzlan, 17 JUN 2020.

SLIM RIVER – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengalu-alukan kemasukan ahli baharu termasuk parti komponen Pakatan Harapan (PH), kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia mengakui mendengar mengenai hasrat beberapa ahli parti Amanah Negara (Amanah) untuk menyertai parti tersebut.

Namun bekas pemimpin PKR itu tidak dapat mengesahkan sejauh mana kebenaran berhubung perkara itu.

“Saya adalah dengar walaupun saya tidak tahu sejauh mana sahih atau berapa orang tetapi pokok pangkalnya keyakinan orang-orang politik dan juga rakyat yang paling pentingnya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin hari semakin meningkat.

“Soal ada beberapa pimpinan atau ahli Parlimen daripada parti-parti lain daripada Pakatan Harapan (PH) ingin sertai Bersatu itu, saya tidak boleh sebutkan kerana saya tidak ada mandat tetapi tentulah kita mengalu-alukan (kemasukan mereka),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau Pusat Media sempena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sokongan akar umbi penting untuk memastikan kestabilan politik di negara ini.

“Walaupun jumlah anggota Parlimen kerajaan itu melebihi pembangkang beberapa kerusi sahaja tetapi rakyat bawahan, akar umbi dan orang biasa sangat mempengaruhi.

“Saya ahli Parlimen walaupun macam mana pandai sekali pun, dia kena tengok akar umbi dan kalau akar umbi mahu kestabilan berterusan seperti sekarang,” katanya lagi.

Hari ini, terdapat portal berita melaporkan terdapat beberapa ahli parlimen daripada parti Amanah didakwa akan melompat parti dan menyertai Bersatu. – MalaysiaGazette