KUALA LUMPUR – Penyerang Selangor, Rufino Segovia yang baharu sahaja dalam proses mendapatkan kecergasan akibat kecederaan urat tumit musim lalu mengakui berdepan cabaran besar mendapatkan kembali rentak selepas hampir lima bulan tanpa sebarang perlawanan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Justeru, dia tidak menafikan perlu mengambil sedikit masa bagi memulihkan keyakinan dan berharap kesempatan yang ada terutama pada aksi persahabatan mampu meletakkan dirinya bersedia menghadapi saingan CIMB Liga Super yang akan bersambung pada 26 Ogos ini.
Rufino pada awal musim ini telah turun beraksi dalam empat perlawanan namun tiga daripadanya dimasukkan selaku pemain gantian dengan jumlah keseluruhan 154 minit permainan.
“Memang situasi yang sukar buat saya kerana telah melalui satu tempoh yang panjang kerana cedera dan ketika saya baharu mula hendak dapatkan kecergasan, sekali lagi saya terpaksa berehat.
“Dalam tempoh tiga ke empat bulan ini, saya hanya boleh lakukan pemulihan di gimnasium bagi mendapatkan kembali tahap kecergasan seperti mana pemain lain.
“ Apa yang saya boleh lakukan ialah harus percaya pada diri sendiri bagi meraih kembali tempat dalam pasukan sebaik liga ini bersambung serta berharap segalanya memihak kepada saya,” katanya.
Rufino merupakan pemenang kasut emas Liga Super pada 2018 apabila muncul penjaring terbanyak sebanyak dengan 19 gol dan secara keseluruhan telah meledak 44 gol sejak menyertai Selangor pada musim 2017.
Namun, rentak kecemerlangan Rufino tersekat pada Mac tahun lalu apabila mendapat kecederaan di bahagian tumit dan terpaksa disisihkan sehingga penghujung musim dengan Ifedayo Olusegon menjadi pengganti.
Dalam pada itu, Khyril Muhymeen menyambut baik kehadiran Rufino selain seorang lagi pemain, Wan Zack Haikal Wan Noor selepas kedua-duanya sudah pulih daripada kecederaan sambil berasakan situasi itu menguntungkan pasukan.
Malah, dia cukup menghormati kemampuan Rufino yang dianggap merupakan seorang penyerang semulajadi dan akan memberikan banyak manfaat kepada Selangor bagi harungi baki saingan Liga Malaysia.
“Sekarang saya tengok Rufino dan Wan Zack sudah pulih dan ini satu perkara yang cukup positif kepada Selangor kerana mampu menambah kekuatan pasukan selepas ini.
“Landasan Selangor setakat ini agak baik cuma adakalanya kurang konsisten dan harap tempoh yang ada ini, kita mampu perbaiki semua kelemahan serta memastikan semua pemain terbaik kita ada boleh beraksi.
“Adanya Rufino tidak menggusarkan saya sebaliknya berasakan ini persaingan yang sihat malah perlu diingat Rufino sememangnya seorang penyerang yang baik dan jika dia bermain, dia pasti akan banyak membantu pasukan, ” katanya. – MalaysiaGazette