KUALA LUMPUR – Pemain tengah Pahang, Faisal Abdul Halim harap penyokong akan tetap memberikan sokongan padu kepada pasukan meskipun mereka tewas dalam dua perlawanan persahabatan setakat ini sambil menjanjikan aksi yang lebih memberangsangkan dalam saingan sebenar yang bakal bermula 26 Ogos ini.
Pemain muda berusia 22 tahun ini mengakui keputusan yang diperoleh dalam dua perlawanan menentang Terengganu FC 2 dan terbaharu, Selangor 2 agak teruk dan tidak menggambarkan prestasi sebenar mereka.
Namun, Faisal harap penyokong tidak putus asa untuk terus memberikan sokongan apabila dua perlawanan tersebut pastinya jadi pengajaran berguna kepada pasukan untuk sentiasa menilai dan memperbaiki segala kelemahan kerana yang lebih penting adalah perlawanan pada 26 Ogos ini menentang juara enam kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Saya sebagai pemain mengakui keputusan memang agak teruk setakat ini, tetapi bukannya bermakna kita nak kalah setiap perlawanan itu.
“Ini kerana kami dalam proses mencari rentak permainan yang sebaiknya untuk kami hadap perlawanan sukar menentang JDT nanti.
“Tidak guna kalau kita menang aksi persahabatan, tetapi aksi sebenar 26 Ogos ini, kita main macam budak-budak, jadi saya harap sangat penyokong juga memahami apa yang kami sedang lakukan ketika ini sebab siapa je yang nak kalah kan.
“Kami sebagai pemain pun apabila kalah, memang sedih, kadang-kadang tiada semangat, tetapi apa-apa pun kami kena bangkit juga untuk terus perbaiki kelemahan sebaik mungkin selepas ini”, jelas pemain kelahiran Pulau Pinang itu.
Pahang terlebih dahulu tewas 0-3 kepada Terengganu FC 2 dan terbaru, kekalahan 2-3 kepada Selangor 2.
Menjelang saingan CIMB Liga Super 2020 yang akan berlangsung kurang daripada dua minggu sahaja lagi, Faisal tekad ingin memastikan tempat dalam skuad utama terus menjadi miliknya apabila telah diberi kepercayaan oleh pengendali, Dollah Salleh untuk beraksi sebagai pemain utama dalam empat perlawanan pertama, musim ini.
Namun, dia tidak menolak bukan mudah untuk terus menjadi pilihan kerana kesemua pemain ketika ini berada di tahap yang sama selepas lama tidak turun padang ekoran pandemik Covid-19 dan sesiapa sahaja mampu menggantikan posisinya.
“Sebelum kes Covid-19 ini, memang keempat-empat perlawanan saya beraksi dalam kesebelasan utama dan selepas kami kembali ke padang, saya sedar semua pemain juga ingin turut sama beraksi kerana kita pun hanya ada 7 perlawanan sahaja lagi.
“Saya hanya ingin kekalkan momentum yang saya ada sekarang ini dan yang penting, dapat pertingkatkan lagi prestasi sebelum sepak mula 26 Ogos.
“Setakat ini, saya pun masih belum berjaya menjaringkan sebarang gol, tetapi sekarang saya rasa itu tidak penting asalkan pasukan menang tidak kira siapa pun yang meledak gol”, tambahnya.
Pahang ketika ini menghuni tangga ketiga liga selepas mengalami dua kekalahan dan dua kemenangan pada awal musim. – MalaysiGazette