Bekas pekerja ladang windsor membuat bantahan dengan memegang poster untuk menuntut sambungan balik bekalan air dan elektrik serta laksanakan skim perumahan masyarakat di Plaza Sentral, Kuala Lumpur. foto AZADI MOHAMAD ISKANDAR, 21 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan 25 bekas pekerja estet ladang Windsor, Kamunting Perak milik Malakoff Corporation Berhad bukan sahaja dipotong bekalan elektrik dan air bahkan diugut dicabut bumbung sekiranya gagal mengosongkan rumah pekerja yang didiami mereka.

Jurucakapnya, Thannimalai Subaramaniam mendakwa ugutan itu dikeluarkan sendiri oleh pengurus ladang terbabit yang mendesak mereka mengosongkan rumah estet terbabit tanpa memberi sebarang pampasan sama ada rumah ganti mahupun wang ringgit.

“Kami dapat ugutan, kalau tak keluar lagi nanti dia orang datang buka bumbung. Pengurus ladang cakap (ugutan). Sebab itu kita datang sini…(pengurus ladang ugut) sebab arahan dari atas.

“Sini pun atas, sana pun atas, sebab itu kita datang Malakoff datang berbincang,” katanya ketika ditemui di luar bangunan Plaza Sentral hari ini.

Selasa lalu, syarikat Malakoff Corporation melalui pihak pengurusan ladang telah memotong bekalan air dan elektrik di rumah bekas pekerjanya di Ladang Windsor, Kamunting, Perak.

Ladang Windsor yang dipunyai oleh Malakoff Corporation ini masih gagal melaksanakan skim perumahan sendiri pekerja ladang, sepertimana yang diusahakan oleh Sime Darby Plantation.

Thannimalai bersama tiga bekas pekerja lain yang berkhidmat sejak 25 lalu melahirkan rasa kesal apabila pihak Malakoff enggan berbincang dengan baik sebelum mendesak mereka mengosongkan rumah pekerja ladang itu.

“Kita ada dapat notis sebelum api dan air kena potong, kita mahu bincang tapi petang itu (18 Ogos 2020) juga datang potong.

“Kami datang merayu. Kalau air api dipotong, apa mau buat? Kalau kami panggil (bincang) tapi Malakoff tak datang tengoklah apa nak buat.

“Sekarang banyak susah tak ada api air macam mana nak hidup,” jelasnya.

Selain itu, Malakoff juga diminta mempertimbangkan permohonan mereka agar skim perumahan pekerja ladang diwujudkan.

“Kami minta rumah skim untuk pekerja masih ada kat sana 25 orang atau tanah yang kita mahu. Kita ada hantar memorandum sampai sekarang tiada perbincangan, apa jawapan pun tak ada.

“Kita minta sambung api air dan rumah skim sebab kerja sudah 25 tahun di sana.

“Bukan kita sahaja tapi ada pekerja ladang lagi lama, 30 hingga 40 tahun yang kerja lagi lama pun minta perkara yang sama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast