Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah (dua kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar (kanan) melihat galeri #TMPrihatin pada Majlis Pelancaran Kempen Bulan Kebangsaan TM di Menara TM, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Semua kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan diminta untuk mempromosi sambutan Hari Kebangsaan menerusi pelbagai platform agar kehangatannya dapat dirasakan oleh semua lapisan masyarakat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, peranan semua pihak ketika negara mengamalkan langkah pencegahan wabak Covid-19 amat penting memandangkan tahun ini tidak ada sambutan besar-besaran akan diadakan  pada 31 Ogos nanti.

“Pada mesyuarat Kabinet pagi tadi saya telah membentangkan program-program sambutan Hari Kebangsaan dan kita memutuskan untuk meminta kerjasama semua pihak melipatgandakan usaha mempromosi dan merayakan sambutan sambutan Hari Kebangsaan ini kerana kita tidak mempunyai hari perarakan yang lazimnya diadakan setiap tahun.

“Kita meminta semua kementerian agensi dan badan berkanun anak syarikat (GLC) dan sebagainya supaya mereka memainkan peranan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas  melancarkan Bulan Kebangsaan TM’ di Menara Telekom Malaysia Berhad hari ini.

Tambah Saifuddin, pelbagai inisiatif boleh digunakan untuk mempromosi bulan kebangsaan termasuk memainkan lagu-lagu patriotik di pejabat mahupun organisasi yang akan dapat membangkitkan semangat cintakan negara.

Rakyat juga ujar beliau, amat digalakkan menggunakan media sosial sebagai platform utama untuk meraikan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Meskipun cara meraikan tidak akan sama seperti sebelum ini namun beliau menganggap ianya unik dan boleh dimanfaatkan dengan baik.

“Walaupun tidak dapat merayakan Hari Kebangsaan seperti biasa kita tetap ingin merayakannya dengan apa cara sekalipun oleh yang demikian satu daripada kaedah pentinng perayaan tahun ini tentulah platform media sosial kita nak galakkan rakyat Malaysia buat apa sahaja yang baik kreatif dan positif dan muat naik melalui Youtube atau media sosial lain ambil gambar memasang bendera, kita nak galakkan setiap rakyat buatlah apa-apa yang bersesuaian.

“Kalau boleh rakam saat itu dan kongsi dgn kawan-kawan tularkan supaya kita semua mulai sekarang sampai 16 September.

“Ini perayaan Hari Kebangsaan di sosial media akan menjadi perkara utama,” katanya lagi.

Tidak ketinggalan syarikat swasta seperti TM Berhad yang berkaitan dengan telekomunikasi merancakkan kempen Hari Kebangsaan, katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini tidak akan diadakan seperti kelazimannya dengan acara perbarisan atau perarakan.

Beliau berkata, ini disebabkan acara perbarisan Hari Kebangsaan adalah berskala besar dan melibatkan beribu peserta yang tidak digalakkan memandangkan ia bercanggah dengan Prosedur Operasi Standard pencegahan Covid-19.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.