Seorang pengunjung merakam gambar bendera pertama Persekutuan Tanah Melayu pada Pameran Koleksi Terpilih Kemerdekaan 63 anjuran Muzium Negara sempena bulan kemerdekaan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Muzium Negara, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 20 OGOS 2020.

SETELAH 63 tahun kita merdeka persoalan yang sering bermain di minda ialah sejauh mana kita benar-benar menghayati erti kemerdekaan yang sedang dinikmati ini. Hal ini kerana
kemerdekaan dan kebebasan dari penjajah adalah satu pencapaian yang terlalu besar dan tiada galang gantinya. Maka adakah wajar pencapaian ini hanya diraikan pada bulan Ogos
dan September semata-mata?

Penulis sering tertanya-tanya sejauh mana tahap keberkesanaan segala program yang dianjurkan bagi memperingati detik bersejarah kemerdekaan dalam konteks menyemai penghayatan sebenar erti kemerdekaan dalam sanubari setiap warganegara. Jujurnya, kita tidak dapat menyemai semangat patriotisme jika program yang dianjurkan itu bersifat sementara atau bermusim semata-mata. Maksudnya di sini, sudah pasti kita tidak mahu
rakyat hanya menzahirkan semangat patriorisme pada bulan-bulan tertentu sahaja. Juteru perlu ada inisiatif berterusan bagi memastikan momentum cinta dan sayangkan negara dalam kalangan rakyat dapat dikekalkan dan diteruskan sepanjang masa. Hal ini penting kerana sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat detik kemerdekaan adalah “hari raya” yang cukup besar nilainya justeru sambutannya juga perlu diadakan sepanjang masa demi untuk terus menyuburkan semangat cintakan negara.

Justeru kita berharap agar pihak kerajaan akan merangka program yang berterusan supaya sejarah kemerdekaan dan detik 31 Ogos 1957 terus dikenang dan disambut sepanjang tahun melalui pelbagai majlis dan program. Misalnya program dan majlis rasmi kerajaan perlu diselitkan dengan sedikit lipatan sejarah perjuangan wira-wira kemerdekaan yang sanggup mengorbankan jiwa dan raga demi mempertahankan
tanah air tercinta suatu ketika dahulu. Ringkasnya  sejarah kemerdekaan dan pembentukan negara ini perlu sentiasa diulang tayang dan diulang cerita kepada khalayak supaya kita tidak melupainya walaupun satu saat.

Hal ini penting kerana generasi yang lahir selepas detik 31 Ogos 1957 tidak pernah melalui zaman penjajahan. Kelompok ini juga tidak merasai apa yang telah dilalui oleh nenek moyang kita ketika berada di bawah penjajahan terutamanya di bawah kawalan komunis malah negara kita juga tidak terbabit dalam sebarang bentuk konflik mahupun peperangan antarabangsa. Justeru mereka hanya dapat membaca semua peristiwa
terbabit dalam buku sejarah sahaja. Ini membuatkan penghayatan tentang nilai kemerdekaan masih rendah dan boleh dipersoalkan. Buktinya, generasi hari ini dilihat tidak begitu menghormati Jalur Gemilang, lagu Negaraku serta perpaduan kaum yang ada. Dalam konteks ini penulis sering tertanya-tanya kenapa rakyat kita masih gagal untuk mengambil iktibar dengan apa yang sedang berlaku di negara luar misalnya tanyalah anak-anak muda Palestin mahupun Rohingya, apa makna dan erti kemerdekaan kepada mereka. Pada hari ini merekalah yang paling layak untuk menerangkan erti, nilai dan definisi kemerdekaan kepada dunia.

Jelas situasi tidak menentu seperti ini terutamanya dalam kalangan generasi muda adalah satu senario yang tidak sihat untuk masa depan negara kita. Apakah generasi ini yang
boleh kita harapkan untuk bangkit  mempertahankan kemerdekaan yang kita nikmati selama 63 tahun ini? Secara jujurnya penulis risau dan sangsi dengan kemampuan anak
muda negara ini yang dilihat semakin hanyut dengan pelbagai adat dan budaya barat yang bertentangan dengan nilai-nilai murni yang kita pertahankan dan warisi selama ini.
Itu belum lagi kita menilai dan menguji daya ketahanan mental dan fizikal mereka jika perlu berhadapan dengan situasi yang getir untuk mempertahankan negara.

Justeru pihak kerajaan sebagai pembuat dasar bersama-sama dengan masyarakat perlu melakukan sesuatu dengan segera. Kita perlu mengubah situasi tidak menentu ini. Kemerdekaan adalah warisan dan khazanah negara yang tidak boleh djual beli
mahupun ditukar ganti. Ianya perlu dihayati dan dipertahankan sepanjang masa. Jangan sesekali kita leka sehingga menyesal kemudian hari kerana sekali merdeka tidak semestinya kekal merdeka selama-lamanya. Inilah satu-satunya negara dan tanah air kita maka marilah kita pertahankannya.

Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast