KUALA LUMPUR – Sentimen defensif dijangka menguasai corak dagangan di Bursa Malaysia minggu depan, dengan petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada antara 1,550 dan 1,600.

Pakar pasaran percaya bursa tempatan akan dipengaruhi oleh laporan pendapatan korporat yang lemah, data ekonomi tempatan, kebimbangan mengenai hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta bagaimana Rizab Persekutuan AS yang kurang memihak kepada kadar faedah rendah akan mempengaruhi sentimen ringgit.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata mata wang tempatan yang lemah sering memberi perspektif yang kurang menggalakkan kepada sentimen dalam ekuiti.

“Kita dapat menyaksikan pasaran diniagakan lebih defensif tetapi dalam julat semasa berikutan kemungkinan dolar US yang lebih kukuh secara menyeluruh.

“Dengan COVID-19 yang masih berlaku di seluruh dunia, saya yakin Top Glove dan kaunter penjagaan kesihatan yang lain akan terus mencatatkan prestasi yang baik tetapi kekurangan eksport global akan menjejaskan indeks dengan lebih luas,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata pasaran tempatan telah meraih manfaat daripada hakikat bahawa Malaysia telah dapat menangani COVID-19 dengan baik, walaupun tempoh sekatan pergerakan yang panjang telah menghalang pemulihan.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim menjangka kekurangan petunjuk baharu dari peringkat luaran dan tempatan akan memastikan bursa tempatan terkawal minggu depan.

Beliau berkata, satu-satunya data ekonomi utama yang akan dikeluarkan minggu depan ialah data perdagangan bagi Julai, yang dijangka akan menunjukkan pertumbuhan eksport yang berterusan.

Bagi minggu baru berakhir, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka selama empat hari berikutan Bursa Malaysia dan anak syarikatnya ditutup pada Khamis sempena sambutan Maal Hijrah.

Minat untuk mengambil risiko dalam pasaran didorong oleh langkah-langkah mudah tunai yang diumumkan oleh China, iaitu bank pusat menambah pembiayaan selama setahun bernilai US$101.0 bilion melalui kemudahan pinjaman jangka sederhana untuk menyokong bank dalam persekitaran tekanan mudah tunai yang meningkat dan memastikan pemulihan ekonomi dalam sasaran.

Pada Selasa, kebanyakan pelabur tidak memasuki pasaran berikutan AS mengumumkan sekatan ke atas Huawei Technologies Co. untuk mengurangkan akses syarikat China kepada cip yang boleh didapati secara komersial.

Menambah kepada sentimen lemah ialah langkah Presiden AS Donald Trump membatalkan rundingan perdagangan dengan China pada hujung minggu lepas, menimbulkan persoalan berhubung persetujuan yang telah dicapai oleh kedua-dua negara itu pada tahun ini.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI ditutup tinggi 12.53 mata kepada 1,577.12 pada Jumaat, berbanding 1,564.59 pada Jumaat lepas.

Indeks FBM Emas melonjak 205.55 mata kepada 11,350.08, Indeks FBMT 100 naik 182.98 mata kepada 11,159.24 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 514.63 mata kepada 13,429.81.

FBM 70 menambah 610.43 mata kepada 14,736.28 dan Indeks FBM ACE melonjak 1,312.29 mata kepada 10,921.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 278.56 mata kepada 13,026.49, Indeks Perladangan naik 38.88 mata kepada 7,039.66 dan Indeks Teknologi menambah 4.51 mata kepada 56.26.

Indeks Penjagaan Kesihatan naik 334.27 mata kepada 4,096.76 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 3.13 mata kepada 142.27.

Jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 35.68 bilion unit bernilai RM23.9 bilion daripada 88.84 bilion unit bernilai RM33.46 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 18.33 bilion saham bernilai RM17.35 bilion daripada 50.66 bilion saham bernilai RM24.48 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 2.35 bilion unit bernilai RM934.36 juta daripada 3.08 bilion unit bernilai RM1.06 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 14.99 bilion saham bernilai RM5.69 bilion daripada 41.11 bilion saham bernilai RM13.72 bilion minggu lepas. – MalaysiaGazette