Liga Perdana Inggeris
Aksi pemain Manchester United, Paul Pogba.

LONDON – Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba akan kekal di Old Trafford pada musim panas ini.

Berita itu disahkan oleh agen pemain itu, Mino Raiola.

Dia memberitahu, Pogba telah memilih untuk kekal di United dan akan segera membincangkan kontrak baru.

“Pogba akan tetap berada di Manchester United kerana adalah pemain utama dan mereka mempunyai projek penting di mana akan terlibat dalam projek itu.

“ United tidak akan menerima tawaran musim panas ini untuk menjual Pogba,” kata Raiola kepada Sky Sport Italia.

Spekulasi Pogba meninggalkan United telah bertiup sejak musim panas musim lalu.

Pemain dari Perancis itu dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid dan bekas kelabnya, Juventus.

Spekulasi masa depan Pogba berterusan di era Ole Gunnar Solskjaer terutama ketika pemain itu berehat panjang kerana kecederaan.

Malah, hubungan antara Raiola dan Solskjaer panas pada Februari lalu apabila Solskjaer menegaskan dia akan menentukan masa depan Pogba dan bukan agennya.

Ketika ini, Pogba sedang menikmati percutian setelah musim ini berakhir dan perbincangan mengenai kontrak baru akan bermula sebaik dia pulang dari bercuti.- MalaysiaGazette