Para pekerja dilihat memakai sarung tangan dan pelindung muka pada hari pertama dibuka semula berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di pawagam Golden Screen Cinema IOI City Mall, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 JULAI 2020

SYOR Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijadual berakhir pada 31 Ogos ini adalah langkah yang amat wajar. Kita berharap pihak MKN dan Perdana Menteri akan meneliti saranan ini sebaik mungkin sebelum membuat keputusan tentang status pelaksanaan PKPP selepas 31 Ogos kelak.

Walaupun secara prinsipnya kita dapat mengawal penularan wabak Covid-19 di negara kita, namun perlu diakui virus ini masih berada bersama-sama dengan kita. Trend turun naik kes yang dilaporkan secara harian, di samping tercetusnya beberapa kluster baharu dari semasa ke semasa membuktikan kita tidak boleh memandang rendah ataupun mengabaikan ancaman dan kebolehan virus ini. Ringkasnya kita masih belum boleh menarik nafas yang lega apatah lagi mengisytiharkan kemenangan. Ini ditambah pula dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini yang menjangkakan wabak Covid-19 akan
berlaku bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun.

Justeru kita tidak boleh terlalu tergesa-gesa atau cepat menarik balik pelaksanaan PKPP ini sebaliknya perlu mengambilkira tahap kesediaan dan kesedaran anggota masyarakat serta kesan jangka panjang ancaman virus tersebut. Mengambil kira senario semasa, kita wajar meneruskan PKPP ini sehingga keadaan betul-etul terkawal dan meyakinkan bahawa rantaian penularan berjaya dinoktahkan. Ironinya kita masih belum mampu mencapai status sifar kes walaupun untuk tempoh satu hari.

Penulis yakin majoriti ahli masyarakat akan menyokong atau mahukan PKPP ini terus dilanjutkan. Hal ini kerana pertama, PKPP tidak begitu menghalang kehidupan harian rakyat seperti ketika PKP tempoh hari. Secara umumnya sepanjang PKPP ini kita
sudah mula menjalani kehidupan seperti biasa apabila kerajaan sudah mula memberikan pelbagai kelonggaran dan hampir semua sektor ekonomi, pendidikan dan sosial sudah dibenarkan beroperasi seperti sediakala. Cuma bezanya ialah, kita perlu terus mematuhi segala prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan seperti memakai pelitup muka di tempat awam yang sesak, merekodkan bacaan suhu ketika mengunjungi mana-mana premis termasuk menggunakan aplikasi My Sejahtera serta mengamalan penjarakan fizikal dan kawalan kendiri. Jadi tiada alasan untuk kita membantah pelanjutan tempoh PKPP ini.

Kedua, kita perlu memberikan lebih banyak lagi ruang dan masa kepada anggota masyarakat untuk membiasakan segala amalan norma baharu yang telah ditetapkan. Hal ini kerana sehingga ke saat ini masih ada yang alpa, leka ataupun lupa untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Harus diingat bukan mudah untuk kita mengubah sikap dan tingkah laku yang sudah sebati dengan kita sejak dari kecil. Justeru eloklah dilanjutkan PKPP ini agar rakyat boleh mengadaptasi dan melazimi  secara perlahan-lahan segala norma baharu tersebut sebagai gaya hidup mereka.

Ketiga, masih ada yang degil dan sengaja tidak mahu mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Buktinya laporan menunjukkan hampir setiap hari pihak berkuasa mengesan ada saja individu mahupun premis yang ingkar arahan PKPP sehingga ada
yang dikompaun dan ada yang terpaksa ditahan reman. Antara kesalahan mereka ialah, gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka dan premis beroperasi lebih masa selain, menjalankan aktiviti membabitkan
kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

Keempat, pelanjutan tempoh PKPP ini juga akan memberi ruang kepada pihak KKM dan MKN untuk menilai semula SOP yang sedang dikuatkuasakan bagi melihat keberkesanan pelaksanaannya, di samping boleh merintis jalan untuk melonggarkan sedikit SOP yang bersesuaian sebagai persediaan rakyat ke arah memasuki fasa bebas daripada PKPP sepenuhnya kelak. Misalnya, bagi sektor yang tidak ada sebarang masalah dalam tempoh pelaksanaan PK P, adalah wajar pihak berkuasa
mula melonggarkan lagi SOP yang ada dengan memberi penekanan yang lebih kepada kawalan sendiri sahaja.

Jadi adalah sangat wajar tempoh PKPP ini dilanjutkan lagi dengan harapan kesedaran rakyat akan terus meningkat serta kita dapat memutuskan lagi rantaian penularan wabak sehingga boleh mencapai status sifar kes. Hakikatnya kini semuanya terserah kepada kita sendiri. Jika kita mahu PKPP ditamatkan dan tidak
perlu lagi menghadapi ancaman virus ini, maka patuhilah semua SOP yang ditetapkan dan lakukanlah kawalan kendiri sebaik mungkin dengan penuh bertanggungjawab, jujur dan ikhlas. Jangan sesekali menipu diri sendiri dengan hanya mematuhi SOP di hadapan pihak berkuasa tetapi di belakang mereka kita
langsung tidak mempedulikannya.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast