KUALA LUMPUR – Sehingga semalam, seramai 18,401 individu yang pulang dari luar negara telah menjalani proses kuaranti wajib 14 hari.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua mereka telah ditempatkan di 68 hotel dan enam Institut Latihan Awam (ILA) di seluruh negara.

Katanya, dari jumlah itu, seramai 10,380 individu telah tamat proses kuarantin dan pulang ke rumah masing-masing, manakala 7,965 lagi dalam tempoh pengasingan diri.

Menurut beliau, selain hotel, mereka ditempatkan di ILA di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Setakat ini, 56 individu yang pulang dari luar negara dihantar ke hospital untuk rawatan kerana ujian saringan menunjukkan mereka positif Covid-19.

“Mereka ini pulang dari 32 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Jelas Ismail Sabri, semalam, polis telah mengadakan sebanyak 434 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan semua mereka yang dikuarantin telah mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, polis bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi.

Mengenai penahanan individu yang ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), beliau berkata, rekod menunjukan seramai 88 dikenakan tindakan.

Katanya, dari jumlah itu 84 dikenakan kompaun dan empat lagi direman.

“Antara kesalahan dilakukan mereka ialah gagal menyediakan peralatan, catatan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa, private party dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast