KUALA LUMPUR – Armada Nasional memberi amaran kepada Manila supaya tidak berterusan mencabar kedaulatan Sabah dan Malaysia susulan cadangan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina yang mahu memasukkan Sabah dalam peta dan pasport negara itu.
Naib Ketuanya, Mandela Malakun berkata, tindakan negara jiran itu seolah mahu menyentuh maruah Sabah yang telah menjadi sebahagian wilayah berdaulat sejak perjanjian Penubuhan Malaysia pada 1963.
Tegas beliau, cadangan Manila itu tidak harus dianggap sebagai isu kecil kerana ia melibatkan soal kehormatan Malaysia dan kedaulatan negeri Sabah.
“Filipina seperti sengaja mahu melakukan provokasi dalam isu kedaulatan Sabah apabila kerajaan negara itu meluluskan cadangan memasukkan Sabah dalam peta mereka.
“Armada memberi peringatan kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina untuk tidak terus bermain api dalam isu berkenaan kerana kami akan sedia mempertahankan kehormatan Sabah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membenarkan cetakan peta negara itu meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport mereka.
Jelas Mandela, tindakan jawatankuasa hal ehwal luar negara jiran itu tidak masuk akal kerana Filipina tidak mempunyai asas dan fakta sejarah bahawa Sabah adalah sebahagian daripada wilayah mereka.
Katanya lagi, jika mengimbau sejarah, sebarang isu tuntutan tertangguh antara Sabah dan Filipina sudah lama selesai apabila semua tuntutan itu memihak kepada Malaysia serta telah disahkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak Penubuhan Malaysia 1963 dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Mahkamah Dunia.
“Pada Oktober 2001, ICJ memutuskan menolak cubaan Filipina untuk campurtangan dalam isu tuntutan Pulau Sipadan dan Ligitan antara Malaysia serta Indonesia.
“Malah Malaysia telah menang dalam tuntutan tersebut pada Disember 2002,” katanya.
Beliau berkata, dalam kes terbaharu tahun ini juga di mahkamah tinggi, kerajaan Malaysia melawan Nurhima Kiram Fonan & Ors, Hakim Datuk Martin Idang memutuskan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada wilayah Malaysia dan tiada sesiapa berhak atau berkuasa atas hubungan negeri itu.
“Segala-galanya sudah termaktub dan Filipina seharusnya menghormati kedaulatan Sabah sebagai sebahagian usaha untuk menjaga hubungan dua hala harmoni antara kedua-dua negara,” jelas Mandela. – MalaysiaGazette