SLIM RIVER – Melihat proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berjalan lancar hari ini, calon Barisan Nasional (BN) yakin mencapai kemenangan besar.
Mohd. Zaidi Aziz berkata, keyakinan itu berdasarkan tinjauannya di pusat pengundiannya yang dibuka sejak 8 pagi tadi yang mendapat sokongan memberangsangkan.
“Saya yakin dapat tingkat jumlah undi berbanding PRU (Pilihan Raya Umum) lalu.
“Saya ucap terima kasih petugas jentera yang bertungkus-lumus bawa keluar pengundi sejak awal pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di pusat pengundian di Sek Kebangsaan Aminuddin Baki di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Zaidi yakin mencapai sasaran 14,000 undi.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim itu berkata, keyakinan itu berdasarkan kesepakatan antara parti lain seperti Pas dan Bersatu dalam menumpukan kepada pengundi masing-masing.
Sementara itu, Mohd. Zaidi menyifatkan proses pengundian telah berjalan lancar dan aman.
Pada PRU14 pada 2018, BN menerusi penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib mendapat, 8,327 undi, calon Bersatu, Mohd. Amran Ibrahim yang menggunakan lambang PKR (6,144 undi) manakala calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal mendapat 4,103 undi.
PRK Dun Slim diadakan susulan kematian Mohd Khusairi yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim akibat serangan jantung, pada 15 Julai lalu. – MalaysiaGazette