KUALA LUMPUR – Susulan kejayaan ‘membersihkan’ Pasar Borong KL di Selayang sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas, kini Datuk Seri Dr Edmund Santhara memberi tumpuan kepada Jalan Petaling atau lebih popular dengan panggilan ‘Petaling Street.
Jika kedua-dua pasar borong itu terkenal dengan kebanjiran warga asing, khasnya Rohingnya, selama berpuluh tahun lamanya, Petaling Street pula lebih kepada penguasaan peniaga asing yang berkelakuan ala gangster ‘menggerunkan’ warga tempatan.
Bagaimanapun, Santhara yang juga merupakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berperanan menjaga ibu kota berikrar tidak sesekali menutup matanya, sebaliknya akan memastikan Petaling Street dikembalikan kepada warga tempatan dalam masa terdekat.
Santhara yang menyertai ‘Operasi Tebah’ diketuai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Plis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) semalam bertekad membersihkan lokasi tumpuan umum itu untuk pelancong.
Kata Ahli Parlimen Segamat itu, beliau sememangnya sudah banyak menerima aduan berhubung Petaling Street sejak awal-awal lagi.
Malah katanya, ketika ini beliau sedang mengikuti perkembangan di lokasi yang menjadi ‘kubu’ kepada segelintir warga asing untuk mengusai perniagaan di situ, sekali gus menutup ruang untuk warga tempatan berniaga.
“Senang cerita, saya kini fokus untuk ‘merdekakan’ Petaling Street. Isu ini bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi ini juga bukan satu alasan untuk kita berterusan membiarkan ianya seolah-olah kumpulan warga asing ini kebal.
“Kita banyak menerima isu berkaitan kebanjiran warga asing, bagaimana mereka bukan sahaja kuasai tempat ini sebaliknya juga kebal di sini, ada banyak aduan termasuklah berniaga tanpa lesen, paling membimbangkan tentang khidmat pelacuran berleluasa di tawarkan oleh mereka.
“Apa ertinya perkataan ‘merdeka’ seandainya bandar kita ini penuh dengan warga asing yang bukan hanya sekadar hadir mencari rezeki sebaliknya mula menguasai kita, bandar kita orang kita? Apa ertinya merdeka untuk warga KL?
“Kerana itu kami konsisten dan fokus malah tidak akan sesekali tunduk kepada sesiapa sebaliknya ‘all out’. Kita sudah mula giat menjalankan operasi, mungkin peringkat permulaan tapi janji saya, ini bukanlah pengakhirannya.
“Kita hendak laksanakan tanggungjawab serta janji kepada rakyat bukannya tunduk kepada mana-mana pihak termasuk tekanan politik, anda akan lihat Petaling Street yang baharu, milik kita rakyat tempatan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Bercakap tentang hasil operasi semalam yang di sertainya, Santhara mendedahkan tidak ada sebarang tangkapan dilakukan berikutan tindakan ‘tangkas’ peniaga asing serta premis pelacuran.
“Mereka ada ‘mata-mata’ malah ada juga kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau apa yang sedang berlaku. Mengejutkan juga kerana mereka juga telah ubah suai struktur bangunan serta ada juga pintu-pintu rahsia bagi kaburi pihak berkuasa.
“Juga ada ‘runner’ di mana-mana bagi hidu kehadiran pihak berkuasa.
“Serbuan juga dibuat dengan risikan berminggu sehingga membolehkan kita kesan lokasi-lokasi panas bagi kegiatan tidak bermoral yang pastinya menjana pendapatan yang luar biasa buat golongan ini. Untuk itu, mereka akan lakukan apa sahaja.
“Tapi kita tidaklah henti di sini sahaja hanya kerana kekangan seperti ini, kita akan terus jalankan operasi setiap minggu, kalau perlu dua kali sehari pun kami akan lakukan. Jangan fikir ini main-main atau retorik sahaja.
“Kepada ‘VIP’ yang berikan perlindungan, cukup-cukuplah. Berhenti. Jangan ambil hak rakyat Malaysia untuk berniaga. Berikan taat setia anda untuk Malaysia. Jangan jual hak rakyat Malaysia demi kepentingan diri sendiri.
“Budaya ‘kautim’ mungkin dululah. Perkara lepas, ini kerajaan PN atau kerajaan prihatin. Kita di sini hendak kembalikan hak rakyat Malaysia, kita hendak pulangkan hak rakyat.
“Saya sendiri tidak ada masa untuk main-main, saya ada tanggungjawab dan akan lakukannya sebaik mungkin. Saya juga berharap supaya orang awam terus menyalurkan maklumat membantu kita bagi tindakan susulan,” tegasnya
Setakat ini, sebanyak 55 kompaun telah dikeluarkan manakala 164 papan lapis yang memisahkan setiap bilik dipercayai untuk menjalankan aktiviti pelacuran dirobohkan oleh pihak berkuasa.
Sebelum ini, tercetus kebimbangan umum tentang kerugian ditanggung industri keselamatan makanan berikutan penutupan pasar borong yang mengakibatkan kerugian RM1 bilion.
Malah apa yang jauh lebih merunsingkan kehadiran etnik Rohingnya yang mendominasi pasar borong itu yang merupakan antara punca mengapa negara berdepan dengan kerugian selepas kerajaan bertindak ‘mengurung’ mereka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selepas hampir tiga bulan berhempas pulas, Kementerian Wilayah Persekutuan mengumumkan lokasi pasar borong kini bukan sahaja bersih dan selesa malah kebanjiran warga asing juga sudah diatasi dengan lebih baik.
Mungkin kini sudah tiba masanya Petaling Street mengalami nasib sama seperti itu dan di bawah Kementerian yang diterajui Tan Sri Annuar Musa dan dibantu oleh Santhara sebagai timbalannya, sesuatu yang dianggap mustahil menjadi realiti. –MalaysiaGazette