KUALA LUMPUR – Sempena tarikh 31 Ogos menandakan hari kemerdekaan yang ke-63 dan ulang tahun Rukun Negara, Prasarana Malaysia Berhad tampil melancarkan ‘Projek Sejahtera 2020’.
KUALA LUMPUR – Sempena sambutan kemerdekaan yang ke-63 dan ulang tahun Rukun Negara, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini melancarkan Projek Sejahtera 2020.
Inisiatif julung kali ini merupakan antara usaha syarikat pengangkutan awam itu untuk menyuburkan semangat patriotisme serta cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.
Lebih menarik apabila pelancaran itu diadakan di stesen MRT Merdeka, bersebelahan dengan Stadium Merdeka dan Stadium Merdeka, yang mana dindingnya memaparkan prinsip Rukun Negara.
Berganding dengan MRT Corp untuk projek itu, para pengunjung stesen berkenaan bersama-sama membaca kembali ikrar kelima-lima prinsip Rukun Negara yang diperkenalkan 50 tahun lepas sebagai identiti jati diri rakyat Malaysia.
Selain meraikan Hari Kemerdekaan, mesej paling utama daripada Projek Sejahtera 2020 adalah membawa kembali semua rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara yang sepatutnya menjadi prinsip pegangan hidup setiap orang yang mengaku dirinya sebagai rakyat Malaysia.
Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Tajuddin Abdul Rahman teruja memperkatakan keistimewaan Malaysia yang didiami berbilang kaum dan hidup dalam penuh harmoni ketika berucap mada majlis itu.
Kata beliau, besar nikmatnya untuk duduk di sebuah negara yang berbilang kaum, budaya serta laterbelakang namun mampu hidup dengan semangat toleransi tinggi selama ini.
“Kita sebagai rakyat Malaysia patut bersyukur dengan nikmat yang kita kecapi sehingga hari ini, kita terus hidup aman dan damai selama ini.
“Sememangnya hari ini adalah hari penting dalam kita menghayati prinsip Rukun Negara serta hari kemerdekaan,” katanya.
Beliau turut mengetuai bacaan Rukun Negara yang disertai para pengunjung serta orang awam.
Ketika lagu Negaraku berkumandang, masing-masing menyanyi dengan penuh semangat.
Selaras dengan tema ‘Malaysia Prihatin’, program berkenaan turut melibatkan para peniaga yang mendaftar dengan projek ‘Rapid KL Support Lokal’, yang dilancarkan oleh Prasarana untuk membantu peniaga di sepanjang laluan rel dan bas Rapid KL.
Dengan mendaftar di bawah program berkenaan, mereka akan mendapat sokongan publisiti dan promosi secara percuma daripada Prasarana khususnya daripada pasukan media sosial dan Jabatan Hal Ehwal Medianya.
Pada majlis itu, seramai enam peniaga makanan dijemput untuk memperkrnalkan produk-produk makanan mereka untuk disaji kepada para tetamu.
Prasarana turut mengumumkan inisiatif ‘RAPIDKL FREE CAR BOOT SPACE@LRT’, yang merupakan lanjutan daripada program ‘Rapid KL Support Lokal’ dan susulan daripada pengumuman Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sebagai permulaan, Prasarana akan membuka lima stesen untuk mereka yang berminat untuk mengadakan perniagaan kecil-kecilan di stesen-stesen LRT Glenmarie, Kelana Jaya, Cempaka, Pudu LRT dan stesen Pandan Indah.
Program bermula pada 19 September dan diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad di kawasan parkir stesen-stesen berkenaan. –MalaysiaGazette