KUALA LUMPUR – Penubuhan Kementerian Perpaduan Negara di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini merupakan satu keputusan tepat dalam usaha memupuk kelestarian perpaduan dan integrasi dengan lebih sempurna.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, perpaduan negara dan integrasi nasional merupakan persoalan yang sangat rumit dan sulit.
Disebabkan itu, ia perlu ditangani sebaik yang boleh dan bukan sahaja secara profesional sebaliknya menerusi ilmu daripada pelbagai disiplin yang berkenaan dengannya, katanya.
“Ia juga hendaklah dilakukan dengan amat teliti kerana ia bersifat sistematik sekali, iaitu berangkai-rangkai dan sarat pula dengan pelbagai faktor lain, selain kaum (untuk perpaduan negara) dan wilayah (bagi integrasi nasional),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN (Isu sosial), di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya, di sini, hari ini.
Kok Seorang berkata, persoalan berkaitan perpaduan negara dan integrasi nasional tidak boleh sesekali ditangani tanpa adanya pemikiran amat mendalam, apatah lagi secara spontan tanpa perancangan langsung atau perancangan acuh tidak acuh, selain bersifat ‘ad hoc’.
Ujar beliau, atas kesedaran itu, Kementerian Perpaduan Negara ditubuhkan, satu kementerian khusus atau penuh iaitu tersendiri.
Katanya, ia penting bukan sahaja untuk mengakui kita mempunyai masalah dalam ehwal penyatupaduan kaum dan wilayah ini sebaliknya, lebih penting lagi ia memperlihatkan adanya pandangan jauh untuk meramalkan musibah yang akan menimpa jika ianya tidak diurus dan ditangani secara serius.
“Pandangan jauh ini mengambil kira keseriusan keadaan dengan menganggapnya sebagai amat penting kerana perpaduan negara dan integrasi nasional tidak pernah pun berada pada tahap yang memuaskan setelah sekian lama kita membentuk Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) pada 1957 dan Persekutuan Malaysia pada 1963,” ajelasnya.
Tambah beliau lagi, penubuhan Kementerian Perpaduan Negara itu memang tepat pada masanya kerana hubungan etnik antara Melayu, Cina dan India semakin mencapah di Semenanjung Malaysia (dengan adanya defisit kepercayaan antara kaum yang ketara), dan hubungan wilayah semakin bersela dengan adanya suara (walaupun didakwa kecil) untuk Sabah dan Sarawak meninggalkan Persekutuan Malaysia.
“Sebenarnya penubuhan Kementerian Perpaduan Negara juga memperlihatkan sikap proaktif Kerajaan PN untuk mewujudkan tahap perpaduan negara dan integrasi nasional yang lebih baik, selain mengawal keadaan sedia ada yang tidak pun begitu baik agar tidak bertambah buruk lagi,” katanya. – MalaysiaGazette