Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

TARIKH 31 Ogos merupakan tarikh keramat dalam sejarah Malaysia. Pada tarikh berkenaan pada tahun 1957, Malaysia mencapai kemerdekaannya dari penjajahan British yang telah menjajah negara ini buat sekian lama. Malaysia bukan sahaja pernah dijajah oleh British, malah turut pernah dijajah oleh banyak kuasa- kuasa besar dunia sebelum kedatangan British lagi seperti Jepun, Belanda dan Portugis. Namun episod penjajahan ini semua berakhir dengan tercapainya kemerdekaan negara ini secara rasminya 63 tahun yang lalu. Kemerdekaan bermaksud bebas daripada cengkaman penindasan serta bebas daripada menjadi hamba kepada orang lain.

Kemerdekaan juga bermaksud kita bebas untuk menentukan perjalanan kehidupan diri kita sendiri tanpa perlu mengharapkan bantuan orang lain untuk menentukan kehidupan kita. Malangnya erti kemerdekaan selalunya dikaitkan dengan kebebasan dari segi fizikal. Maksud kemerdekaan perlu diperluaskan lagi. Merdeka bukan sahaja kita bebas dari segi fizikal untuk melakukan segala apa yang kita ingini. Kita juga harus merdeka dari segi minda dan jiwa dengan menghentikan daripada melakukan perkara- perkara buruk, tidak mendatangkan sebarang faedah serta yang boleh memalukan diri sendiri. Setiap manusia tanpa mengira latar belakang, kaum serta agama telah dikurniakan oleh Tuhan akal fikiran untuk menentukan yang mana baik dan yang mana buruk.

Kurniaan akal fikiran ini adalah terhad dikurniakan kepada manusia sahaja, tidak kepada makhluk ciptaan Tuhan yang lain seperti haiwan serta tumbuh- tumbuhan. Adalah penting untuk setiap daripada kita mengunakan akal fikiran kurniaan Tuhan ini untuk melakukan kebaikan sesama manusia serta kepada semua ciptaan Tuhan dan bukannya melakukan perkara yang membawa kepada keburukan. Antara perkara buruk yang gemar dilakukan oleh segelintir manusia ialah dengan melakukan amalan bodek membodek antara satu sama lain. Tiada definisi yang jelas terhadap perkataan bodek membodek ini. Namun, ianya boleh ditakrifkan sebagai satu perbuatan mengampu orang lain dengan mengucapkan sebarang ayat yang manis atau menggembirakan hati orang yang ditujukan ayat itu walaupun orang yang ditujukan ayat itu tidak layak menerima sebarang ucapan ayat yang manis atau menggembirakan.

Selain daripada mengucapkan ayat-ayat yang manis atau menggembirakan, ia juga boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perbuatan dimana seseorang itu melakukan sesuatu perkara tanpa sebab yang kukuh atau munasabah bagi menggembirakan hati orang yang hendak ditujukan dengan perbuatan itu. Perbuatan bodek membodek ini selalunya dilakukan bagi mendapatkan sesuatu sebagai balasan. Jarang ada orang mengucapkan kata-kata manis atau yang menggembirakan ataupun melakukan sesuatu perbuatan yang menggembirakan orang lain secara tiba – tiba tanpa sebab. Adalah penting supaya sikap bodek-membodek ini disingkirkan dari kehidupan seharian kita. Proses pendidikan harus diberikan kepada kanak – kanak supaya mereka menghindari sikap bodek membodek ini daripada kamus harian mereka. Pada masa yang sama juga, pihak kerajaan khususnya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pusat Governans, Integriti dan Anti- Rasuah (GIACC) yang baru ditubuhkan oleh kerajaan tidak beberapa lama yang lalu boleh memberi pertimbangan untuk mengkaji dengan terperinci serta memberi pertimbangan untuk jadikan amalan bodek membodek khususnya bagi mendapatkan sesuatu sebagai sebahagian daripada jenayah rasuah dan boleh didakwa di bawah mana- mana peruntukkan undang-undang yang berkaitan dengan rasuah yang ada dalam negara kita.

Mengikut fahaman tradisi atau konvensional yang ada pada masa kini mengenai maksud jenayah rasuah. Rasuah bermaksud penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Masalah sekarang suapan disini selalunya difahami oleh orang ramai sebagai perkara yang melibatkan pertukaran wang atau benda-benda yang berharga, nyata dan boleh dilihat dengan mata kasar bagi mendapatkan sesuatu sebagai pulangan. Pindaan boleh dilakukan terhadap takrifan suapan dibawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta SPRM 694] dengan meletakkan kesalahan bodek membodek itu sendiri dengan lebih jelas supaya isu ini dapat diatasi dengan lebih baik dalam negara kita.

Perlu diketahui amalan bodek membodek untuk mendapat sesuatu patut juga dijadikan sebahagian daripada jenayah rasuah kerana walaupun ia tidak melibatkan pemberian atau pertukaran barangan tertentu seperti wang atau hadiah yang diberikan untuk mendapatkan sesuatu sebagai balasan, amalan bodek membodek juga sedikit sebanyak mempunyai kesan yang buruk sama seperti jenayah rasuah. Jika seseorang itu diberikan sesuatu sebagai balasan atas usaha bodek yang dilakukannya terhadap mana-mana pihak yang berkepentingan sedangkan mereka memang tidak layak untuk memiliki balasan terbabit sudah pasti ia akan memberi impak atau kesan buruk pada organisasi yang terlibat, kesan buruk kepada masyarakat serta kesan buruk kepada negara secara keseluruhannya. Kesan buruk ini juga boleh menimpa kepada diri orang yang dibodek dimana mereka yang dibodek ini akan sentiasa hidup dalam dunia fantasi mereka sendiri akibat sentiasa dibodek oleh pembodek. Pada masa yang sama juga ia boleh mengundang persepsi negatif dalam kalangan orang ramai yang akan beranggapan amalan bodek membodek ini menjadi satu kemestian untuk dilakukan oleh mereka dalam negara kita untuk mendapatkan sesuatu daripada mana- mana pihak yang berkepentingan tanpa perlu melibatkan keringat tenaga dan usaha.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast