Kamaruzaman Mohamad
Kamaruzaman Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas menggesa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat secara menyeluruh individu serta organisasi yang terlibat dalam kes pencerobohan tanah kerajaan negeri secara haram di Raub, Pahang.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, jumlah tanah yang diceroboh itu berkeluasan kira-kira 4,400 hektar.

Ujar beliau, mana-mana pihak yang dilihat cuba membela penceroboh berkenaan adalah perbuatan memalukan.

“Siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengisi periuk nasi sendiri dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak memberitahu, kerajaan negeri dianggarkan mengalami kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram melibatkan kawasan seluas 4,400 hektar di Raub.

Beliau dilaporkan berkata, nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Katanya, kerajaan negeri akan menggunakan peruntukan undang-undang secara tegas ke atas pencerobohan tanah kerajaan secara haram dan pencerobohan hutan bagi tujuan itu.

Menurut Kamaruzaman, Pas menyokong ketegasan kerajaan Pahang yang melakukan operasi pemutihan tanah haram di seluruh negeri itu.

Ujar beliau, langkah kerajaan negeri menetapkan denda kepada peneroka haram dilihat sebagai usaha bagi membanteras kegiatan pencerobohan itu agar tidak berleluasa.

Beliau berharap, polis dan SPRM melaksanakan siasatan dengan adil terhadap semua pihak dan diberikan hukuman setimpal jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.