Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim menyempurnakan gimik pada Majlis Pelupusan Barang Kes Pejudian Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Balai Polis Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Pemilik bangunan yang menyewakan premis mereka kepada sindiket judi secara bakal berdepan hukuman berat.

Ketua Polis Kuala Lumpur,  Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis telah mengenalpasti para pemilik bangunan yang menyewa premis mereka kepada operasi haram itu sekitar di ibu negara.

“Kita nak beri peringatan dan menasihati tuan punya premis (pemilik) yang membenarkan sindiket judi sewa premis mereka dengan bayaran harga sewa tinggi kerana tindakan mereka punca judi haram parah seperti kanser dalam kehidupan rakyat.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJKL) mengenalpasti tuan punya atau pemilik premis yang menyewa kepada sindiket judi haram supaya dapat diambil tindakan.

“Ini peringatan tegas saya kepada pemilik bangunan, tindakan berat dan tegas akan menyusul ke atas mereka sekiranya menyewakan premis kepada operasi judi demi keuntungan jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyempurnakan majlis Pelupusan Barang Kes Perjudian di Balai Polis Alam Damai, Cheras hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim bercakap semasa sidang media pada Majlis Pelupusan Barang Kes Pejudian Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Balai Polis Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 SEPTEMBER 2020.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo dan Ketua Jabatan Siastan Jenayah, Senior Asisten Komisioner, Nik Ros Azhan.

Kata Mazlan lagi, pelupusan barang kes perjudian hari ini melibatkan sebanyak 275 kertas siasatan sejak tahun 2014 hingga tahun 2019 yang telah dibicarakan dan dihukum di Cheras, Brickfields dan Wangsa Maju.

Barang kes terdiri daripada 2,323 buah komputer judi dan 260 buah telefon bimbit menggunakan kaedah pelupusan secara e-waste sejajar prosedur Jabatan Alam Sekitar sebagai menyahut pelaksanaan inisiatif Amalan Hijau dan Aplikasi Go Green PDRM.

Polis juga, katanya, mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bertanggungjawab untuk mengesan dan membatalkan permit serta lesen perniagaan pengusaha restoran dan sebagainya yang menjadi dalang dan mendorong kepada operasi terlarang itu di premis mereka.

Ditanya sama ada pihak pengusaha restoran atau peniaga yang dikenalpasti menjadi ‘pengkhianat’ membantu sindiket judi haram, Mazlan berkata, pihak berkenaan sudah dikenalpasti dengan senarai lengkap butirannya.

“Ia akan diserahkan kepada bahagian jenayah untuk tindakan berat sewajarnya berlunaskan undang-undang, tiada lagi kompromi untuk puak-puak ini, bersedia untuk ditangkap dan dihukum,” katanya lagi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim melakukan proses pelupusan menggunakan jengkaut pada Majlis Pelupusan Barang Kes Pejudian Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Balai Polis Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 02 SEPTEMBER 2020

Justeru katanya, pihaknya juga menyusun langkah untuk menahan dan menuduh pengusaha judi berkenaan dan mereka akan ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

Beliau mengakui judi haram ini menjadi cabaran berat kepada polis memandangkan pengoperasiannya sudah bertukar daripada cara konvensional mesin judi kepada atas web menggunakan telefon bimbit.

“Dulu, boleh dikatakan judi haram berleluasa kerana mesin judi besar dan dioperasikan merata kawasan dalam premis sehingga keluar masuk pintu cermin gelap kini perkataan berleluasa tidak logik digunapakai kerana trend mesin judi tidak wujud sebaliknya beroperasi secara dalam talian pabila pelanggan membayar wang tambah nilai RM100 hingga RM200 sebelum pusat panggilan judi haram berkongsi link web judi haram untuk individu bermain dalam telefon bimbit.

“Kalau dia main judi dalam telefon bimbit sambil goyang kaki di kedai kopi mana kita nak tahu sebab pengusaha kedai kopi lindungi dia dan jika kehadiran polis boleh lari meloloskan diri.

“Kini sindiket judi sewa kedai kopi sebelah dan menyediakan pintu akses rahsia di kedai sebelah untuk pelanggan masuk berjudi ke dalam premisnya dan bayaran tambahan poket pergi kepada kedai kopi sebelah,” dedahnya.- MalaysiaGazette