Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka mengaktifkan semula program pemutihan pekerja asing tanpa izin (PATI) bagi menghadapi masalah kekurangan tenaga manusia di beberapa sektor.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa kerajaan secara prinsipnya telah bersetuju dengan program pemutihan.

Beliau memberitahu Nanyang Siang Pau, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri akan meneliti perkara itu secara lebih lanjut.

Selepas dimuktamadkan dua kementerian itu, perkara itu akan dipanjangkan kepada Kabinet untuk kelulusan dan pengumuman.

Michael berkata, pihaknya sebelum ini telah mencadangkan program pemutihan dan pertubuhan perindustrian dan perniagaan lain juga dipercayai telah membangkitkan isu sama.

Pelbagai sektor telah mengeluh mengenai masalah kekurangan pekerja selepas aktiviti ekonomi diaktifkan semula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Untuk menghadapi isu itu, kerajaan telah membenarkan pengambilan pekerja asing yang telah kehilangan pekerjaan, walaupun mereka sebelum ini berkecimpung dalam sektor berbeza.

Michael berkata, selepas membenarkan pengambilan pekerja asing dari sektor berlainan yang kehilangan kerja, program pemutihan akan membantu mengurangkan lagi impak masalah kekurangan pekerja.

Sementara itu, Michael berkata, data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan terdapat lebih 4,700 pekerja asing sah yang sedang mencari pekerjaan pada masa ini.

Katanya, majikan yang mahu mengambil pekerja boleh berdaftar melalui laman sesawang Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana.

Jelasnya, pihak persatuan akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk melakukan pemadanan pekerjaan.

Selain itu, majikan juga boleh melepaskan pekerja asing yang ada untuk membolehkan majikan lain menggaji mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Pendatang haram pati yg bolh mendatangkan resiko penyakit bolh di hntar pulang ke nagara asal mereka..dan sy cdangkan kpd pihak krjaan , hak kn umur bg pgambilan perkerja asing di ngra ini, sperti hnya pekrja asing yg bumur antara 20 tahun hingga 40 tahun shja..yg tua2 tidak di bnarkan bkerja di mlysia..dan satu lg, pi hk IM sperti hagat2 tahi ayam berkaitan benteras pati..kawasan Sg Buloh , terdapat ramai sgt pendatang asing pati, terutama area hospital sg buloh, pusat kusta negara, pembukaan tanah2 krjaan n penerokaan tanah krjaan yg tidak terkawal olh pihak2 tertentu, myebabkn lambatkan pkerja asing haram pati semakin bertambah..harap pihak2 berwajid sprti IM, kerjaan ngeri, pjabat tanah dan galian daerah gombak, Pbt, sila bertindak dgn ..jgn smpai sg buloh terkenal sbgai pkampungan haram dan lambakan warga asing pula nnti..

Comments are closed.