Mohd Zai Mustafa
Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) membantah dan menentang sekeras-kerasnya pencerobohan tanah haram secara besar-besaraan dan berleluasa oleh 111 pekebun durian Musang King di Raub, Pahang.

NGO itu percaya, pencerobahan melibatkan keluasan tanah 4,800 hektar atau 11,800 ekar itu mendapat sokongan dan dokongan daripada pihak tertentu secara terancang dan berselindung.

Tegas Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa, UMMAH juga memandang serius pihak pentadbiran dan agensi yang diamanahkan menjaga urusan tanah daerah yang gagal mengawal kegiatan itu dari awal lagi sehingga menjadi barah yang memberi kesan buruk kepada kerajaan dan politik kerajaan Pahang.

“Kita menyeru pihak yang bertanggungjawab membuat laporan dan siasatan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan tiada unsur rasuah dan integriti dalam pentadbiran tanah.

“Jika ada salah laku yang berlaku, satu tindakan yang tegas hendaklah diambil kepada tangan-tangan kotor ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan 111 pekebun kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.

Tindakan itu dilakukan berikutan kerajaan negeri mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Antara kawasan dusun durian di Raub yang terbabit ialah Hutan Simpan Gunung Benom sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras.

Mohd Zai menyatakan, UMMAH menyokong penuh tindakan tegas Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, tanpa kompromi, membanteras dan menghentikan pencerobohan itu.

Katanya, pihaknya mahu memastikan kerajaan negeri memastikan perbuatan itu diambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang mengikut Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965 dan Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast